MOHD Razalee bersama isterinya Mahani.
myMetro

Seremban: “Mujurlah saya terjumpa penuntut Malaysia dan mereka memberi sedikit wang dirham membolehkan saya membeli makanan dan kad prabayar untuk menghubungi keluarga,” kata Mohd Razalee Abd Rahman, 55, ketika menceritakan pengalaman selepas isterinya Mahani Muda, 50, tidak sedarkan diri.

Isterinya pengsan ketika dalam penerbangan dari Lapangan Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, Arab Saudi ke Kuala Lumpur kerana mengalami sesak nafas, malam Ahad lalu.

Keadaan ini menyebabkan pesawat dinaiki terpaksa melencong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dibawa ke Hospital Deira Dubai.

Selain Mahani, seorang lagi jemaah, Hathijahtul Kubura Abdul Kabur, 68, dari Georgetown, Pulau Pinang turut dimasukkan ke hospital sama kerana masalah kesihatan, tetapi dibenarkan pulang ke Malaysia, semalam.

Mohd Razalee yang menetap di FELDA Kepis, Kuala Pilah berkata, dia dan isteri mengikuti rombongan mengerjakan umrah di Makkah dan sepanjang berada di sana, keadaan kesihatan isterinya baik.

Bagaimanapun, katanya, ketika di Jeddah isterinya kelihatan penat dan tercungap-cungap sebaik memasuki pesawat menyebabkan anak kapal datang bertanya dan memberikan ubat.

“Selepas makan ubat, isteri tidur sehinggalah saya mengejutkannya untuk minum dan makan. Saya memanggil isteri dan menggoncang badannya beberapa kali tetapi tiada maklum balas.

“Saya tidak sedap hati lalu memanggil anak kapal untuk melihat keadaan isteri. Anak kapal kemudian memberitahu juruterbang sebelum pesawat itu melencong ke Dubai.

“Sebaik mendarat, dua doktor dalam pesawat membuat pemeriksaan dan mengesahkan isteri perlu dibawa ke hospital segera,” katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp, semalam.

Dia kini masih tinggal di rumah seorang kakitangan pejabat konsulat di Dubai.

Katanya, isteri kini terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan kerana jantungnya yang lemah, dan sehingga petang semalam, Mahani dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

Dia tidak tahu tahap kesihatan isterinya selain berdoa wanita itu kembali pulih dan berharap kerajaan membantunya menguruskan kos rawatan di hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:06 AM