PESERTA Sesi Dialog Bersama Pembekal, Penjual dan Persatuan Perubatan mencuba Meditag pada hologram produk kesihatan.
Mohd Hasbi Sidek dan Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Masih ada pembekal dan peniaga produk kesihatan yang mempertaruhkan nyawa pengguna dengan menjual produk mengandungi racun berjadual selain tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, terdapat juga peniaga yang dikesan berani mengiklankan produk mereka dalam akhbar, televisyen mahupun majalah tanpa mendapat kelulusan terlebih dulu daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) KKM

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) Datin Ainon Elony Othman berkata, pihaknya mengesan kewujudan banyak produk kesihatan yang mengandungi kimia berbahaya dan racun berjadual yang dijual secara berleluasa di pasaran.

“Malah, kami turut mengesan ubat perangsang seks palsu dan ubat tiruan mengandungi racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil dan steroid yang dijual secara berleluasa di tempat terbuka seperti di kaki lima dan kedai runcit.

“Perbuatan menjual ubat-ubatan mengandungi racun tanpa lesen sah dan memudaratkan kesihatan satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sesi Dialog Bersama Pembekal, Penjual dan Persatuan Perubatan di pejabatnya di sini, semalam.

Seramai 13 peserta mewakili enam persatuan menyertai dialog itu yang dianjurkan Cawangan Penguat Kuasa Farmasi JKWPKL bertujuan memberi pendedahan kepada semua syarikat di ibu negara mengenai keperluan mendaftarkan produk mereka dan menggalakkan penjualan produk berdaftar.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang ramai disaran supaya mengenali ubat atau produk kesihatan yang mahu dibeli terlebih dulu dan terdapat beberapa cara bagi memastikan produk dibeli itu selamat digunakan.

“Pengguna, penjual dan pembekal perlu memastikan setiap produk mempunyai nombor pendaftaran dan label hologram meditag. Sebelum ini, produk berdaftar hanya diberikan nombor pendaftaran, namun terdapat segelintir individu yang memalsukan nombor pendaftaran itu selain menggunakan nombor produk lain.

“Bagi mengatasi masalah itu dan mengembalikan keyakinan pengguna, langkah penambahbaikan diambil dengan pengenalan penggunaan pelekat hologram meditag pada semua produk farmaseutikal.

“Selain itu, setiap produk perlu mempunyai label yang mengandungi butiran lanjut pada bungkusan. Pengguna juga boleh menyemak status produk di laman web, www.pharmacy.gov.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 9:07 AM