OTHAMAN dan Zawiah menunjukkan sijil dan piala yang diterima.
Ainul Fatihah Mansor
ainul.fatihah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendidikannya cuma setakat darjah enam dan bekerja sebagai pemandu, tetapi seorang lelaki membuktikan tiada yang mustahil dalam hidup apabila bakal menghasilkan buku ilmiah ketiga dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, dia sudah menghasilkan dua jilid buku ilmiah sehingga salah satunya diiktiraf sebagai penerima Anugerah Buku Umum Terbaik (kategori Sains) Anugerah Buku Negara 2013.

Segala-galanya bermula apabila pemandu Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Othaman Hasin, 61, menunjukkan koleksi gambar tumbuhan yang hampir pupus miliknya kepada majikan, Datuk Dr Abd Latif Mohmod yang juga Ketua Pengarah FRIM.

Tertarik dengan koleksi dan pengetahuan berkaitan pokok serta buah hutan yang dimiliki sejak bekerja 35 tahun di FRIM, Abd Latif kemudian memberi perangsang untuk Othaman menghasilkan buku ilmiah.

“Ketika mendengar saranan majikan, saya diam kerana tidak yakin mampu melakukannya, tambahan pula saya hanya bekerja sebagai pemandu di FRIM.

“Bagaimanapun selepas ditawarkan membuat buku tiga kali, saya akhirnya akur sebaik mendengar majikan bertanya apa yang akan saya wariskan kepada anak cucu sekiranya FRIM dijadikan tapak warisan dunia suatu hari nanti,” katanya.

Terkedu dengan soalan yang diutarakan itu, Othaman akhirnya membuat keputusan untuk menyahut cabaran berkenaan dan mengumpul pengetahuan yang dimilikinya dalam bentuk buku.

Tambah bertuah apabila Othaman turut dibantu isterinya, Zawiah Ngah, 46, yang bekerja sebagai pembantu penyelidik FRIM untuk menulis maklumat dalam buku.

Walaupun dilontarkan dengan pertanyaan daripada segelintir orang sekeliling yang menidakkan keupayaannya, Othaman bagaimanapun tidak mengalah malah kekal positif dalam menyiapkan buku ilmiahnya itu.

“Rutin seharian kami juga berubah kerana banyak masa terluang ditumpukan untuk mengambil gambar, mencari dan mengukur tinggi pokok termasuk daun disebabkan ketiadaan data lengkap.

“Selain itu, kami juga sentiasa mengadakan perbincangan dan terpaksa memilih beberapa ribu saja gambar pokok dan buah hutan yang dianggap terbaik daripada puluhan ribu keping yang diambil,” katanya.

Pada masa sama, dia juga tidak melepaskan peluang untuk mencari spesies buah dan pokok yang jarang ditemui sekiranya terbabit dalam aktiviti memasuki hutan di seluruh negara.

Menurutnya, lebih setahun masa yang diambil untuk menyiapkan buku Koleksi 99 Spesies Buah di FRIM manakala buku Kenali 114 Spesies Buah-Buahan Liar pula mengambil masa dua tahun.

“Kenangan paling bermakna apabila buku Koleksi 99 Spesies Buah di FRIM dinobatkan sebagai Anugerah Buku Umum Terbaik (kategori Sains) pada Anugerah Buku Negara.

“Saat itu terasa diri ini sangat kerdil. Saya tidak sangka akan menang kerana banyak penyertaan daripada kalangan ilmuwan dan orang kenamaan sedangkan saya cuma pemandu lori yang berpendidikan setakat darjah enam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 9:42 AM