SHEIKH Yusuf Abu Sunainah
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

Shah Alam: “Umat Islam digalakkan menziarahi Masjid al-Aqsa kerana itu yang dilakukan Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk dan Mikraj yang ketika itu masjid ketiga paling suci dalam Islam tidak di bawah pemerintahan umat Islam,” tegas Imam 1 Masjid al-Aqsa Sheikh Yusuf Abu Sunainah.

Beliau berkata, Saidina Umar al-Khattab iaitu Khalifah kedua turut menziarahi masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam itu selepas membebaskannya daripada cengkaman Rom dan Kristian.

Katanya, kerana itu penting umat Islam ke Palestin untuk mengunjungi masjid berkenaan kerana secara tidak langsung juga akan membantu ekonomi umat Islam di sana.

“Tidak timbul fatwa haram mengunjungi al-Quds kerana dikuasai Yahudi Israel kerana ketika tentera salib menguasainya selama 100 tahun dulu, tiada ulama yang memfatwakan haram menziarahi masjid berkenaan.

“Kita mesti meramaikan umat Islam ke Masjid al-Aqsa kerana setiap tahun 100,000 Yahudi berbuat demikian,” katanya kepada media di Yayasan Restu di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan ALCC Al Amin Travel Sdn Bhd Ustaz Muhamad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin.

Beliau mengulas fatwa beberapa ulama yang mengharamkan ziarah ke Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa antaranya Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh al-Azhar Sheikh Dr Ahmad Tayyib dan Naib Pengerusi Majlis Penyelidikan dan Fatwa Eropah Sheikh Faisal Maulawi.

Hujah mereka adalah dengan memperoleh visa Israel seolah-olah ia satu pengiktirafan kepada negara haram itu.

Bagaimanapun para ulama yang menyertai muktamar antarabangsa yang pertama bertajuk Jalan ke Kota Baitul Maqdis di Amman, Jordan mengharuskan ziarah berkenaan berdasarkan hujah meraikan kepentingan penduduk Baitul Maqdis dan memberi bantuan kepada mereka di samping tidak mendokong cita-cita Zionis.

Darul Ifta’ Palestin turut bersetuju dengan keputusan di atas kerana ulama di negara itu lebih mengetahui akan hakikat dan realiti umat Islam yang hidup di negara yang dijajah rejim Israel.

Antara ulama yang membenarkan ziarah itu termasuk Syeikh Masyhur Hasan Alu Salman dari Jordan, Mufti Kosovo Sheikh Naim Tarnafa, Mufti Croatia Sheikh Syauqi Umar Baasyistash, Mufti Serbia Sheikh Muammar Zoukorlic, bekas Mufti Mesir Dr Ali Jum’ah, Sheikh al-Habib Ali Zainal Abidin al-Jufri dan mantan Mufti Besar Arab Saudi Sheikh Abdul Aziz Bin Baz.

Sementara itu Sheikh Yusuf berkata, umat Islam tidak akan meninggalkan Masjid al-Aqsa ‘bersendirian’ kerana itu yang bukan saranan para ulama.

Beliau berkata, al-Quds bukan milik rakyat Palestin sahaja sebaliknya ia hak umat Islam malah manusia di dunia ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 8:38 AM