Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my

Yan: Cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino turut menyebabkan beberapa kawasan air terjun yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai kini lengang walaupun pada musim cuti persekolahan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan rekreasi air terjun seperti Titi Hayun dan Sri Perigi di sini, mendapati air terjun di kedua-kedua lokasi itu kering dan hanya ada takungan air yang keruh di beberapa kawasan tertentu.

Peniaga makanan di Kawasan Rekreasi Air Terjun Titi Hayun Mazlita Md Desa, 41, berkata, keadaan itu berlaku sejak pertengahan Februari lalu disebabkan kemarau yang berpanjangan sehingga air sungai surut dan keruh.

Menurutnya, sepatutnya tempat itu meriah setiap kali musim cuti sekolah kerana ramai pengunjung akan datang untuk berkelah dan mandi-manda bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Saya lihat banyak kereta masuk ke kawasan ini, tetapi kebanyakannya akan berpatah balik selepas melihat air yang cetek dan keruh,” katanya.

Dia yang sudah 16 tahun berniaga di kawasan itu berkata, keadaan itu menyebabkan hasil pendapatannya sebagai peniaga terjejas teruk.

“Sebelum ini pendapatan kami boleh mencapai RM300 sehari, namun kali ini hendak dapat RM50 pun susah,” katanya.

Menurutnya, keadaan di kawasan air terjun itu dijangka pulih seperti biasa sekiranya ada hujan selama seminggu berturut-turut bagi menampung keperluan air di sepanjang sungai itu.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui, Mohd Zulkarnain Abdullah, 25, berkata, dia bersama lima rakan lain sudah pergi ke beberapa kawasan peranginan air terjun di daerah ini untuk mandi-manda, namun hampa kerana semua tempat airnya kering.

Menurutnya, dia yang berasal dari Temerloh, Pahang datang ke Yan untuk menghadiri majlis kenduri sepupunya sekali gus bercadang berkelah di kawasan air terjun di sini.

“Kami bercadang mandi-mandi sambil menyejukkan badan di air terjun tetapi kecewa apabila mendapati airnya kering akibat kemarau.

“Kami juga pergi ke beberapa tempat peranginan air terjun terkenal di daerah ini seperti Batu Hampar, Tupah dan Titi Hayun dan keadaannya juga sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:54 AM
KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang bermain air pancut di Dataran Gemilang Presint 4, Putrajaya.
ANGGOTA bomba memadam api kebakaran hutan berhampiran jalan Kampung Serusup Tuaran.
REMAJA menyejukkan badan dengan mandi di Pusat Rekreasi Titi Hayun berikutan keadaan cuaca yang panas akibat fenomena El Nino.