Kamaruddin bersama jemaah umrah dalam Program Umrah Koop 2016 bersama KOPETRO Travel di KLIA.

Sepang: Empat belas sekeluarga antara 43 jemaah yang menunaikan umrah menerusi Program Umrah Koop 2016 anjuran MyAngkasa Services Sdn Bhd (MyAngkasa Services) dengan kerjasama Kopetro Travel & Tours Sdn Bhd (KOPETRO), semalam.

Ahli perniagaan Mohd Azim Firdaus Kamaruzaman, 29, berkata, walaupun sudah banyak kali menunaikan ibadah itu, tetapi pemergiannya ke Tanah Suci kali ini lebih istimewa kerana ia turut disertai 13 ahli keluarga lain yang berusia antara lapan bulan hingga 64 tahun.

Katanya, ia merangkumi isteri, tiga anak, ibu dan bapa, ahli keluarga terdekat dan keluarga mentuanya.

“Umrah kali ini lebih bermakna kerana isteri dan ketiga-tiga anak kami iaitu Jasmin Maryam Azizaa, 8 bulan, Kenanga Zahia, 5 dan Chempaka Zara, 8, turut bersama.

“Mereka sangat gembira serta teruja apabila mengetahui mengenai perkara ini. Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk melakukan persiapan terutama untuk anak yang sentiasa bertanya apa yang mereka perlu lakukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pelepasan jemaah bagi Program Umrah Koop 2016 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

MyAngkasa Services adalah anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA).

Majlis disempurnakan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyAngkasa Services Datuk Kamaruddin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 6:44 AM