myMetro

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 daripada 53 tapak binaan di sekitar ibu negara diarahkan menghentikan operasi serta merta selama 14 hari bermula semalam selepas didapati mempunyai sarang pembiakan nyamuk aedes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Narimah Nor Yahaya berkata, tindakan penutupan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).

“Keseluruhannya, 21 tapak binaan didapati melakukan kesalahan iaitu 11 premis akan didakwa, didakwa dan ditutup selama dua minggu (9), ditutup dua minggu (1) manakala sembilan premis diberi notis arahan pembersihan.

“Terdapat sebuah premis yang sudah dikenakan notis penutupan pada November lalu tetapi masih mengulangi kesalahan sama hari ini (semalam) dan pihak jabatan mengarahkan premis ditutup selain didakwa,” katanya.

Beliau berkata, operasi bermula jam 10 pagi dan berakhir 5 petang itu disertai 188 pegawai dan anggota dari Kementerian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Dalam perkembangan sama, katanya, sehingga 5 Mac lalu, sebanyak 47 tapak binaan diperiksa dengan 24 daripadanya didapati positif menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Daripada jumlah itu, tujuh premis diarah tutup dan didakwa selain 12 lagi dikenakan kompaun,” katanya.

Narimah berkata, sejak Januari sehingga 5 Mac lalu, jumlah kes denggi semakin meningkat sebanyak 35 peratus atau 488 kes iaitu daripada 1,379 kes dalam tempoh sama tahun lalu kepada 1,867 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:35 AM
anggota Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jalankan operasi kesihatan benteras pembiakan denggi di tapak pembinaan.