MURAD (kanan) pada sidang media, semalam.
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Seri Kembangan: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) melahirkan kebimbangan selatan Filipina akan menjadi kubu pengganas Daish berikutan kegagalan Kongres Ke-16 meluluskan Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL) yang ditandatangani mereka dengan kerajaan sebelum ini.

Pengerusinya Murad Ebrahim berkata, kumpulan pelampau itu dikhuatiri akan mengambil kesempatan atas kekecewaan umat Islam selepas proses perdamaian antara MILF dengan kerajaan Filipina dimulakan sejak 17 tahun lalu.

“Kita bimbang selepas kegagalan pembentukan undang-undang ini, Daish akan mengambil kesempatan kerana sentimen rakyat di kawasan ini sangat kuat,” katanya dalam sidang media, semalam.

Begitupun, katanya, beliau percaya pemberontakan dan keganasan bukan cara terbaik untuk mewujudkan pentadbiran sendiri kerana mereka masih lagi terikat dengan undang-undang.

“Selagi proses damai mempunyai peluang untuk bergerak ke hadapan, maka kita tidak mahu kembali kepada keganasan lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memperingatkan umat Islam di selatan negara itu supaya mencari penyelesaian dengan proses rundingan secara aman dan politik serta bukan pemberontakan.

MILF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Presiden Benigno Aquino pada 2014 untuk menamatkan perjuangan menuntut kemerdekaan yang bermula sejak 1970-an.

Tempoh enam tahun Aquino berakhir pada Jun ini dan MILF berjanji untuk menghormati gencatan senjata itu sementara menanti pilihan raya Filipina pada pertengahan tahun ini.

Murad berharap kerajaan baharu Filipina yang akan dipilih nanti dapat meluluskan BBL dan membantu dalam pembentukan Bangsamoro sebagai entiti politik di selatan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 8:06 AM