ANTARA PATI yang ditahan.
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Sanggup menggadaikan nyawa menggunakan laluan haram untuk pulang ke negara masing-masing.

Itu yang berlaku kepada 39 pendatang asing tanpa izin yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) lima batu nautika dari perairan Tanjong Karang, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun dilaporkan terpaksa duduk bersesak-sesak dengan menaiki sebuah bot dari jeti berhampiran yang dipandu seorang tekong dan dua awak-awak warga Indonesia.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, risikan pihaknya berdasarkan maklumat awam berjaya menahan bot berkenaan daripada meninggalkan perairan negara.

Menurutnya, bot berkenaan dikatakan datang dari negara jiran dan memasuki Malaysia semata-mata untuk membawa pulang semua pendatang berkenaan ke Tanjong Balai, Indonesia.

“Daripada 39 orang itu, lapan adalah wanita dan mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka dilaporkan cuba meninggalkan negara ini menggunakan laluan haram kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ahmad Shafiki berkata, tekong dan dua awak-awak itu akan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala 39 pendatang asing tanpa izin itu didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Mereka ditahan di lokap polis dan siasatan selanjutnya akan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 6:53 AM