NAJIB berbincang dengan Raja Salman dalam pertemuan Rabu lalu.
BERNAMA

Riyadh: Raja Arab Saudi Salman Abdulaziz Al-Saud berpendapat hubungan Malaysia dan negaranya kini berada pada tahap tertinggi dan akan terus diperkukuh pada masa hadapan.

Pengiktirafan ini dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadap baginda di kediaman diraja itu di sini, Rabu lalu.

“Apa yang dinyatakan baginda kepada saya ialah baginda amat berpuas hati dengan tahap hubungan antara kedua-dua negara,” Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas menamatkan lawatan kerja di Arab Saudi yang bermula pada 29 Februari lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Beliau memaklumkan bahawa Raja Salman juga kagum terhadap pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara, sesuatu yang dipandang tinggi oleh Arab Saudi.

Najib berkata bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, beliau menyampaikan jemputan kepada Raja Arab Saudi itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Memberitahu lebih lanjut mengenai majlis menghadap itu, Najib berkata beliau merasa terharu melihat kehadiran sejumlah besar anggota kerabat diraja, menteri kabinet dan pegawai tinggi tentera Arab Saudi ketika majlis santapan tengah hari sempena acara tersebut.

Beliau menganggap suasana itu sebagai melambangkan tahap kepentingan yang diberikan Arab Saudi kepada hubungan antara Riyadh dan Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau berharap hubungan istimewa antara kedua-dua negara akan diterjemah kepada aspek yang boleh memanfaatkan lagi rakyat Malaysia.

Semasa majlis menghadap itu, beliau menzahirkan penghargaan Malaysia atas layanan dan bantuan dihulurkan Arab Saudi kepada jemaah haji dan umrah Malaysia.

Beliau berkata Malaysia mendapat pertimbangan sangat baik berhubung perkara tersebut.

Perdana Menteri berkata, hubungan antara kedua-dua negara berkembang sehingga menggambarkan keprihatinan semasa dalam bentuk ancaman keselamatan yang dihasilkan kumpulan militan Daish, bukan sahaja kepada Arab Saudi, tetapi juga Malaysia dan rantau Asia Tenggara serta selainnya.

Dari segi ekonomi, Najib berkata beliau gembira syarikat Malaysia iaitu Prasarana memenangi kontrak tahun lalu bagi pengoperasian dan penyeliaan sistem Metro Arafah-Mina.

“Kita kini sedang memfokus kepada usaha untuk menjadi operator lapangan terbang antarabangsa Jeddah yang baharu,” kata beliau dan menambah Malaysia mendapat pengiktirafan baik sebagai pengendali lapangan terbang dalam bentuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:11 AM