PERAGAAN Busana Muslimah dalam ruang koc secara bergerak dari stesen LRT Gombak ke Masjid Jamek akan berlangsung pada 26 dan 27 Mac ini.
myMetro

Ampang Jaya: Buat julung kalinya, industri fesyen tanah air akan digegarkan dengan pertunjukan fesyen di ruang koc Transit Aliran Ringan (LRT) secara bergerak bermula dari stesen LRT Gombak ke Masjid Jamek, pada hujung bulan ini.

Peragaan fesyen busana Muslimah oleh HCM Biz Services (HCM) yang mendapat kerjasama Prasarana Malaysia Berhad dengan tema ‘Runway Busana Muslimah on the Move’ itu bakal berlangsung selama dua jam bermula dari jam 2 petang pada 26 dan 27 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HCM, Hazlina Churai Mee berkata, penganjuran itu bertujuan untuk menggalakkan lagi perkembangan industri fesyen tempatan khususnya yang membabitkan busana Muslimah.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian baru bagi industri busana Muslimah di Malaysia, tetapi juga bagi sektor industri fesyen domestik negara secara keseluruhannya kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

“Program ini dijangka menjadi platform bagi jenama dan pereka fesyen yang baru muncul di pasaran dalam memperkenal dan mempertengahkan koleksi rekaan masing-masing secara terus kepada masyarakat yang juga bertindak sebagai pengguna pengangkutan awam LRT pada hari terbabit,” katanya pada majlis sidang media, semalam.

Hazlina berkata, dalam masa sama, pihaknya turut merancang mengadakan ‘Runway Busana Muslimah on the Move 2.0’ menjelang Ramadan ini yang dijangka bakal menjadi ‘runway’ terpanjang di Malaysia dengan menggabungkan dua laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang serta monorel.

“Oleh itu, kami amat menggalakkan pembabitan pereka fesyen dan butik pakaian Muslimah dalam memperagakan koleksi dalam bentuk yang menarik kepada orang ramai, sekali gus dapat mempromosikan jenama ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung, ia juga akan membuka peluang kepada pereka fesyen dan jenama baru untuk memulakan perniagaan secara lebih dinamik dengan promosi berimpak besar dan profil yang menarik.

Bertemakan ‘Runway Busana Muslimah on the Move’, acara itu bakal menyasikan pembabitan banyak pihak termasuk butik pakaian seperti ElleLena.my dan Fiore.

Hazlina berkata, selain disasarkan untuk penggemar fesyen Muslimah, acara santai bersama keluaga itu juga akan menyediakan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan pemuzik jalanan ketika pertunjukan di dalam koc serta pertunjukan peragaan sebagai acara kemuncak di destinasi terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:14 AM