MOHAMMAD Fizal Reza
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang eksekutif teknologi maklumat memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam bahawa dua individu yang didakwa berhubung kes kemalangan maut di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Mei tahun lalu adalah ahli Familia Myvi Club (FMC) yang turut disertainya.

Muhammad Firdaus Roslan, 28, yang juga ahli jawatankuasa pendaftaran kelab itu berkata, dia mengenali Siti Noor Aini Mohd Said, 36, kira-kira tiga bulan sebelum mereka berkumpul dalam satu perjumpaan di sebuah restoran ikan bakar di Gombak.

“Siti Noor Aini yang kami kenali sebagai Ami turut hadir dalam perjumpaan itu. Selepas perjumpaan yang dihadiri 10 ahli itu selesai, kami berlima iaitu Ami, Bobby, Syazwan dan Zahid mengikut saya pulang ke rumah di Sentul dengan kereta masing-masing kerana saya mahu menukar kereta Toyota Vellfire milik bapa saya.

“Selepas itu, kami pergi mencuci kereta di sebuah stesen minyak di Ampang. Di situ, kami berbincang untuk pergi ke pusat beli-belah Publika untuk melepak dan menghisap shisha,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, dua rakan lain iaitu Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 32, dan Farhan tiba di tempat mencuci kereta itu.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, memandangkan hanya dia saja yang tahu jalan ke Publika, maka kenderaan dipandunya mendahului rakan lain melalui DUKE.

“Kami mengambil lorong ketiga iaitu lorong kanan kerana saya membawa kenderaan laju sekitar 120 kilometer sejam dan ke bawah. Saya memperlahankan kenderaan ketika melalui selekoh dan kawasan berbukit. Melalui cermin pandang belakang, saya nampak Zahid (rakan) berada di belakang berdasarkan pelekat kelab pada keretanya,” katanya.

Menurutnya, selepas membayar tol di Plaza Tol Batu, dia memberhentikan kenderaan di tepi jalan sementara menunggu rakan lain sebelum dimaklumkan oleh Zahid bahawa Noor Aini mengalami kemalangan.

“Saya berpatah balik dan mencari lokasi kemalangan. Selepas itu, saya membawa Ami yang cedera di bibir dan badan ke hospital. Selain itu, saya juga nampak sebuah Pajero terbalik,” katanya.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pada prosiding perbicaraan membabitkan dua pemandu Perodua Myvi yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan.

Pembantu pengurus restoran, Siti Noor Aini dan juruteknik, Mohammad Fizal Reza didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 6, DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta di sini, antara jam 12.31 hingga 12.35 tengah malam, 2 Mei 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Siti Noor Aini diwakili Omar Bakhi Ahmad manakala Mohammad Fizal Reza diwakili SN Seelan.

Pada sesi soal balas, Muhammad Firdaus yang menjawab soalan Seelan berkata, tujuan FMC ditubuhkan adalah untuk ahli bertukar-tukar fikiran dan bukan untuk berlumba.

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 9:08 AM