DUA kapal tangki yang didapati tidak mempunyai dokumen kebenaran sah tetapi membawa diesel.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Lawas: Kedudukan dua kapal tangki yang rapat ketika berlabuh di perairan pantai Kampung Punang, di sini, membongkar kegiatan memindah dan menyimpan diesel tanpa dokumen sah bernilai RM13.08 juta, kelmarin.

Dalam Operasi Gelora 01 yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Limbang itu, dua kapal tangki minyak yang berlabuh kira-kira 3.76 batu nautika dari pantai Kampung Punang, jam 10.20 pagi diperiksa dan didapati cuba menyeleweng diesel bersubsidi.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak Asisten Komisioner Kalai Chelvan Nadarajan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu membawa sejumlah diesel tanpa mempunyai dokumen sah.

Menurutnya, diesel terbabit dipercayai diperoleh secara haram untuk diseludup bagi kegunaan industri.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Seramai 16 lelaki warga asing terdiri daripada 14 warga Myanmar, masing-masing seorang dari India dan Nepal ditahan bagi membantu siasatan.

“Diesel sebanyak 800,000 liter yang dibawa kedua kapal terbabit turut dirampas dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Kalai berkata, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Labuan untuk siasatan lanjut.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Lawas dan keseluruhan rampasan dan tindakan seterusnya akan diambil,” katanya.

Katanya, PPM Wilayah Lima Sarawak mengalu-alukan orang awam dan agensi kerajaan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi pencegahan dan pembanterasan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pejabat PPM di talian 082-334111 atau faks ke 082-344780.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 9:01 AM