SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada Seminar Islam Dan Anti Terrorisme Peringkat Kebangsaan, semalam.
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

Kangar: Penularan ajaran sesat Millah Abraham di negara ini mampu menjadikan kumpulan itu terus berkembang seperti kumpulan militan Daish jika tidak dibendung dari awal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman Datuk Awaludin Jadid berkata, kumpulan Millah Abraham disifatkan sebagai ancaman terbaru yang kian berkembang daripada segi jumlah pengikutnya.

“Asalnya dulu kumpulan ajaran sesat ini bergerak sekitar 200 orang saja, namun sejak akhir-akhir ini bilangan pengikutnya kian bertambah sehingga ia menjadi satu ancaman kepada masyarakat di negara ini.

“Berikutan itu, pelbagai operasi tangkapan dilakukan oleh polis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan beberapa jabatan agama Islam negeri lain.

“Kita (polis) hanya memantau dari sudut keselamatan saja manakala akidah dan fahaman masih membabitkan pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk setiap operasi yang dilakukan,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan berkaitan ajaran sesat berkenaan dalam Seminar Islam dan Anti-Terrorisme Peringkat Kebangsaan.

Menurutnya, dalam dua siri tangkapan yang dilakukan setakat ini, seramai 80 pengikut kumpulan terbabit ditangkap dan didapati terdapat anggota JAIS turut terbabit dalam kumpulan berkenaan.

“Namun, permasalahan berlaku apabila kebanyakan anggota kumpulan itu menghilangkan diri ke Sabah, Sarawak dan Indonesia selepas dibebaskan.

“Malah, saya difahamkan di Indonesia juga ramai anggota kumpulan itu ditangkap dan operasi dilakukan kerana tidak mahu kumpulan ajaran sesat Millah Abraham berkembang menjadi organisasi pengganas seperti militan Daish,” katanya.

Awaludin berkata, ajaran sesat Millah Abraham dikesan menggunakan jihad perang sebagai falsafah dalam mewujudkan ‘Daulah Islamiyah’ atau negara Islam di rantau ini.

“Ajaran ini bermula dari Indonesia dan disebar ke kawasan seperti Cheras di Kuala Lumpur dan Klang di Selangor di mana anggota kumpulan akan direkrut dalam perjumpaan kononnya bersifat perbincangan dalam perniagaan seperti pemasaran bertingkat (MLM) atau skim tukaran mata wang asing atau ‘forex’,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu juga dipercayai sedang menambahkan anggota di mana mendakwa akan berada di sebuah ‘tanah harapan’ atau ‘promised land’ yang menjadi tempat aktiviti mereka.

“Kedudukan ‘promise land’ ini sedang dilihat oleh polis di mana kita percaya ia menumpukan kawasan sekitar sempadan Indonesia-Malaysia di Kalimantan dan Simunjan (Sarawak),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:47 AM