AHMAD Tarmizi bertemu Dr Abu Reza ketika pertemuan semalam.
Oleh Yusmizal Dolah Aling melaporkan dari Chittagong dan Bangladesh

Selepas lebih dua bulan ditahan di Penjara Pusat Cox’s Bazaar kerana disyaki terbabit dengan aktiviti menyalahi peraturan Bangladesh, aktivis kemanusiaan Moussa Yacoub berkemungkinan besar dibebaskan.

Ia susulan pertemuan antara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan Jawatankuasa Parlimen Kementerian Perhubungan Agama Bangladesh semalam bagi membincangkan perkara itu yang mendapat perhatian rakyat negara ini.

Perkara itu disahkan ahli jawatankuasa terbabit, Prof Dr Abu Reza Md Nezamuddin Nadwi ketika pertemuan bersama Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dhaka lewat petang semalam, susulan penahanan Moussa di sebuah kem di Kutupalong hujung Disember lalu.

Katanya, sebagai individu yang menjaga portfolio agama di negara ini, beliau mengakui kejadian menimpa Moussa, 29, menjadi bualan masyarakat kerana dia ditahan ketika menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan dia ditahan untuk siasatan dan selepas semuanya selesai, kita berharap dia dibebaskan segera. Saya ingin tegaskan, kita tidak menganiaya sesiapa,” katanya ketika ditemui.

Dr Abu Reza yang juga Ahli Parlimen Chittagong turut menghubungi pihak berkuasa di Cox’s Bazaar untuk mengetahui perkembangan kes Moussa dan difahamkan, keputusan mengenainya dijangka diketahui hari ini.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, MAPIM mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa NGO Islam sebelum ini dan mendapati wujud keperluan untuk bersemuka dengan kerajaan Bangladesh.

Menurutnya, Moussa adalah aktivis Yayasan Baraka City yang juga ahli gabungan MAPIM dan wajar dibantu terutama ketika dalam tahanan.

Harian Metro pernah menyiarkan kisah Moussa bersama seorang lagi aktivis mualaf yang mengumpulkan RM2 juta untuk disumbangkan kepada pelarian di Arakan, September lalu.

Aktivis berasal Cameron itu juga aktif dalam beberapa siri misi kemanusiaan bersama MAPIM sebelum ditahan pada 25 Disember lalu.

Penahanan itu mengundang reaksi marah dunia yang mengutuk tindakan ke atas Moussa sambil mendesak dia dibebaskan segera.

Kempen desakan itu digerakkan ke seluruh Eropah dengan orang ramai menandatangani memorandum di Paris, Algeria dan Amerika Syarikat selain menuntut pembelaan sewajarnya ke atas Moussa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:33 AM