JKM ingin mengesan ibu kandung kepada tiga beradik untuk penempatan.
Oleh Nasuha Nazim
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur mencari ibu kandung atau waris kepada Muhammad Azwie Abdullah, 12, Nurfazila Natasha Abdullah, 9 dan Nurdawina Abdullah, 2 untuk perancangan dan penempatan.

Menurut kenyataan JKM, tiga kanak-kanak tersebut ditemui di sekitar Masjid Zaid bin Harithsah Kampung Sungai Mulia Jalan Gombak di sini dan diselamatkan pelindung.

“Pihak JKM menempatkan mereka di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras di bawah Perintah Jagaan Sementara mulai 5 Oktober 2015.

“Namun, atas persetujuan ibu saudara mereka, kanak-kanak tersebut diletakkan di bawah jagaan Jamaluddin Wahab beralamat di Kampung Paya Jaras Dalam Sungai Buloh, Selangor melalui perintah mahkamah hingga 6 April 2016,” katanya.

JKM berkata, mereka berharap ibu kandung kepada kanak-kanak tersebut bernama Dewi Pusitasari dapat hadir ke JKM di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, No 72, Jalan Pahang, di sini.

“Pihak kami memerlukan kerjasama orang ramai bagi mengesan waris kanak-kanak itu bagi tujuan penempatan dan sebarang maklumat boleh menghubungi Azizul Rahaman Zabidin atau JKM di talian 03-26124000/03-26124140,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:28 AM