Soiman (hadapan, dua dari kanan) bersama penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai.
myMetro

Marang: Pembakaran sampah dipercayai menjadi punca berlakunya kebakaran hutan di bukit batu kapur Batu Caves, Selangor, Sabtu lalu.

Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Soiman Jahid berkata, pembakaran secara terbuka harus dielakkan kerana ia bukan hanya mendatangkan masalah untuk kerja pemadaman malah merosakkan persekitaran.

Menurutnya, JBPM juga menasihati pendaki gunung, pencinta alam dan individu yang melakukan aktiviti mendaki gunung atau bukit supaya tidak meninggalkan unggun api dan membuang puntung rokok sesuka hati kerana kesannya amat besar seperti yang berlaku di Gunung Pulai, Baling, Kedah.

“Setiap tahun sekitar Mac hingga Ogos, pasti berlaku kebakaran belukar, hutan dan kawasan tanah gambut di seluruh negara dan JBPM sudah mengenal pasti lokasi sering berlaku kebakaran itu.

“Contohnya di Terengganu, kawasan belukar dan tanah gambut yang sering berlaku kebakaran ialah di Kertih dan Dungun manakala Johor pula di Pontian dan Kota Tinggi dengan bilangan melebihi 30 lokasi,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, peratusan anggota JBPM tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dalam tempoh 10 minit ialah 44.46 peratus.

Menurutnya, menjelang 2020, pihaknya menyasarkan lebih 50 peratus anggota dapat hadir dalam tempoh 10 minit selepas terima panggilan kecemasan.

Katanya, kedudukan sesetengah balai yang jauh dari lokasi kejadian dan kawasan liputan luas mengakibatkan berlaku kelewatan apabila kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 9:31 AM