MOHD Zani (kanan) meninjau kereta curi yang dijual sebagai alat ganti kenderaan terpakai.
Oleh Norizuan Shamsuddin
Norizuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Curi kereta nasional model lama untuk dijual sebagai alat ganti kenderaan terpakai dan melakukan kegiatan jenayah.

Itu sasaran utama sindiket curi kereta didalangi dua lelaki berusia 40-an yang dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berakhir apabila berjaya ditahan polis di Kampung Lindungan, di sini, 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil penangkapan mereka, polis merampas 14 kereta nasional lama dipercayai hasil kegiatan curi kenderaan yang dilakukan kedua-dua suspek.

Katanya, polis turut menemui jaket yang tertera lambang polis bersama gari dan geran kenderaan dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan jenayah lain seperti samun dan peras ugut.

“Hasil penangkapan dua suspek itu, kita menemui 14 kereta dan kebanyakannya membabit model Proton Saga dan Iswara.

“Siasatan mendapati dua suspek terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kegiatan jenayah dan dadah.

“Mereka dipercayai melakukan kegiatan mencuri kereta nasional model lama untuk menjual komponen alat ganti terpakai berikutan terdapat banyak permintaan membabitkan kenderaan lama selain dipercayai menggunakan kenderaan itu untuk kegiatan jenayah lain berikutan terdapat jaket polis serta gari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Menurut Mohd Zani, suspek menjadikan kereta lama sebagai sasaran berikutan kenderaan terbabit mudah untuk dicuri dan tidak mempunyai sistem penggera.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zani berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun kerana melakukan penipuan terhadap urusan jual beli kereta menerusi rangkaian Internet, Selasa lalu.

Katanya, lelaki terbabit ditahan di Petaling Jaya dan polis turut merampas kereta model Alfa Romeo bersama 20 kunci kenderaan bersama suspek.

“Suspek dipercayai melakukan kegiatan penipuan menerusi aplikasi jual beli kenderaan yang terdapat di Internet.

“Suspek juga dikesan terbabit dalam empat kes sama di sekitar Petaling Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 6:57 AM