ANGGOTA polis memeriksa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Seorang kakitangan sebuah pusat perubatan swasta maut apabila motosikal Kawasaki Ninja 250 yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tun Kudu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa, Afiq Azani Abdullah, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah oleh pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang bertugas di sebuah hospital swasta di Ayer Keroh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Merlimau, Jasin, sebaik tamat waktu bekerja.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Jai, berusia 30-an, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumahnya dan dikejutkan dengan bunyi deruman enjin disusuli dentuman kuat.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak lima meter, manakala motosikal mangsa terseret hampir 10 meter.

“Kejadian berlaku sekelip dalam mata dan penunggang itu dipercayai tidak sempat mengelak Proton Satria Neo yang membelok ke kanan.

“Kami tidak berani untuk mengangkat atau mengalihkannya ke bahu jalan kerana risau kecederaan dialaminya bertambah serius, bagaimanapun 10 minit kemudian, dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Satria Neo, seorang gadis berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Bukit Katil menghala ke Merlimau hilang kawalan dan berlanggar dengan Proton Satria Neo yang mahu membelok ke kanan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan muat itu.

“Kami meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian tampil segera bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:40 AM