DR Subramaniam bersalaman dengan pesakit selepas merasmikan PhIS di HPSF Muar.
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

Muar: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan RM1.5 bilion membangunkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bersepadu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di semua hospital di negara ini.

Menerusi sistem bersepadu itu, pesakit atau pegawai perubatan tidak perlu memindahkan fail apabila berpindah hospital kerana semua data boleh dikongsi secara bijak.

Selain itu, ia bakal memudahkan pengurusan memantau pengeluaran jenis ubat-ubatan, sekali gus menambah kecekapan perkhidmatan dan keselesaan pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dengan adanya sistem itu, semua data sama ada baru atau lama digabungkan dalam satu sistem yang boleh diakses di semua pusat kesihatan di negara ini.

“Ia merangkumi sistem pendaftaran, rekod pesakit, preskripsi, sistem bilik bersalin, pengurusan hospital termasuk dewan bedah dan ubat-ubatan di dalam satu sistem.

“Penggunaan sistem ini terbukti memudahkan pasukan perubatan dan pesakit seperti pemindahan dari Muar ke Johor Bahru, seseorang itu tidak perlu membawa rekod perubatan kerana boleh dicapai secara dalam talian di seluruh negara.

“Paling penting, asas sistem itu dan kami akan menggunakannya di semua hospital serta klinik kerajaan, sebelum diperluaskan ke pusat perubatan swasta,” katanya selepas merasmikan pelaksanaan ‘Pharmacy Information System’ (PhIS) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah HPSF Dr Selahudeen Abd Aziz.

Dr Subramaniam berkata, kementerian akan mengetengahkan idea itu kepada Perdana Menteri dalam tempoh terdekat kerana proses pembangunan ICT memerlukan masa lama.

“Sistem ini perlu dibangunkan secara berperingkat dan kita tidak boleh terburu-buru terutama asas awal projek.

“Berikutan itu, saya mencadangkan ia bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pembangunannya dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun,” katanya.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, PhIS sistem dibangunkan dengan 12 modul utama bagi memantau pengurusan ubat-ubatan di hospital.

Selain itu katanya, ia turut berkebolehan untuk memantau perolehan, mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselamatan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:18 AM