Rohani menyerahkan cenderahati kepada Judith di Berjaya Times Square Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perkahwinan bawah umur bukan saja tidak digalakkan di negara ini, malah proses untuk membenarkan ia berlaku adalah terlalu rumit.

Ia disebabkan permohonan itu juga perlu melalui dan mendapat persetujuan Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri berkaitan selain ibu bapa pasangan terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, biarpun daripada segi peruntukan undang-undang perkahwinan itu dibenarkan mengikut had umur remaja lelaki 18 tahun dan perempuan 16 tahun, namun ibu bapa digesa supaya menekankan potensi anak masing-masing dalam proses pembesaran mereka terlebih dulu sebelum membenarkan perkahwinan bawah umur itu.

Katanya, kementerian juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu terbabit sama ada menerusi kaunseling yang dilakukan serta program di bawah agensi kementerian bagi menyekat daripada berlakunya sama ada kes kahwin paksa atau perkahwinan bawah umur.

“Kita sentiasa mendekati golongan ibu bapa untuk mengelak daripada berlakunya perkahwinan bawah umur walaupun dari segi undang-undang ia dibenarkan mengikut had umur ditetapkan. Ini kerana kita mahu remaja ini diserlahkan potensi mereka dan seharusnya mendapat pendidikan asas sehingga berusia 18 tahun. Mereka harus bersekolah dan bukannya berkahwin.

“Fatwa juga sudah dikeluarkan mengatakan perkahwinan kanak-kanak ini tidak bagus untuk perkembangan mereka. Kita berusaha untuk tidak menggalakkan perkahwinan seperti ini berlaku dengan meningkatkan kesedaran walaupun dipersetujui oleh ibu bapa.

“Sebenarnya proses untuk membenarkan mereka berkahwin juga sangat rumit hingga perlu mendapatkan persetujuan Menteri Besar atau Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pameran foto ‘Girl’s Voices: Speaking Out Against Child Marriage’, di sini, semalam.

Pameran berlangsung semalam hingga 28 Februari ini dianjurkan oleh Kerajaan Kanada bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan, Girls Not Brides.

Hadir sama di perasmian itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Judith St George.

Selain itu, Rohani berkata, ibu bapa serta masyarakat juga perlu lebih peka dengan keadaan mental dan fizikal dan kesediaan remaja terbabit jika mereka menyuarakan keinginan untuk berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 8:50 AM