Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Pada usia 60 tahun, lelaki ini mempunyai kekuatan kudrat sama seperti orang muda apabila berjaya mendaki hingga ke Base Camp Everest di Nepal pada ketinggian 5,365 meter.

Meskipun dia bukan warga emas pertama negara berbuat begitu, tetapi kejayaannya boleh memberi inspirasi kepada lebih ramai belia mengikut jejak langkahnya kerana keberaniannya melakukan aktiviti mencabar.

Usaha itu satu catatan pencapaian peribadi Khalid Omar,62, selepas merealisasikan misi terbabit pada November 2014.

Ahli perniagaan itu mengakui dia nekad mendaki ke Base Camp Everest kerana mahu mencabar keupayaan diri sendiri menerusi aktiviti lasak dan luar biasa.

Menurutnya, dia gembira kerana misi itu berjaya dilaksanakan walaupun terpaksa menempuh dugaan, mengalami sedikit masalah kesukaran bernafas ketika berada pada paras ketinggian yang tidak pernah dijejaki sebelum ini.

“Saya daki (Base Camp Everest) bersama sembilan rakan lain, termasuk Pendaki Solo Mohd Noor Mat Amin dan berada di Nepal selama 18 hari dan pendakian mengambil masa sembilan hari.

“Saya pernah berputus asa ketika mendaki kerana tidak tahan dengan cuaca terlalu sejuk dan badan letih, tetapi perasaan itu serta-merta hilang apabila menamatkan misi terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, berdasarkan perhatiannya di Base Camp Everest mendapati budaya mendaki di kalangan warga emas popular dalam kalangan masyarakat antarabangsa berbanding di negara ini.

Berkongsi hobi barunya itu, Khalid berkata, dia terbabit aktiviti itu bermula Mei 2014 dengan melakukan pendakian pertama di Gunung Kinabalu.

“Ini kerana menyahut cabaran anak sulung Nor Bahiah, 30, yang suruh saya tawan gunung ini (Gunung Kinabalu).

“Alhamdulillah, saya membuktikan saya mampu melakukan sepertinya (Nor Bahiah),” katanya yang sangat mementingkan penjagaan kesihatan.

Katanya, rentetan daripada itu, dia aktif melakukan pendakian di beberapa gunung dalam negara ini dan lokasi kegemarannya ialah Gunung Ledang serta sudah menawannya tiga kali.

Khalid berkata, setiap gunung mempunyai karaktor tersendiri, termasuk keindahannya jarang diteroka ramai, pendaki dinasihatkan tidak bermulut celupar apabila mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 10:04 AM
KHALID (dua dari kanan) di Pergunungan Himalaya.