PEKERJA asing bekerja di kilang.
Oleh Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my

Rawang: Produktiviti sektor perindustrian khususnya perkilangan akan merosot sekiranya kemasukan tenaga kerja asing ditangguhkan dalam tempoh lama.

Pengarah Urusan Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd Datuk Syed Mohammed Izhaar Mohammed Sebir berkata, rata-rata industri kini mengalami masalah kekurangan tenaga kerja selepas kebanyakan pekerja sebelum ini sudah pulang ke negara asal.

“Saya mewakili hampir 70 pengusaha sektor perkilangan di Kawasan Perindustrian Rawang berharap kerajaan boleh menimbang semula penangguhan pengambilan pekerja asing oleh majikan negara ini.

“Ini kerana kebanyakan sektor 3D menggunakan tenaga kerja asing dan keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan operasi industri,” katanya ketika ditemui di Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Aisy Arshadah Biz Azhar Arsyad, wakil Qube Medical Products Sdn Bhd Teo Yeok Leong, Pengurus Besar Four Circles Sdn Bhd Abby Li dan wakil Four Circles Sdn Bhd Chirst Leong.

Mohammed Izhaar berkata, pada 2011 seramai 1.3 juta pekerja asing dibenarkan bekerja di bawah program 6P untuk memenuhi kekosongan di sektor perkilangan dan perindustrian.

“Menerusi program itu, tempoh bekerja yang dibenarkan selama tiga atau empat tahun dan sekarang secara logiknya mereka semua sudah dihantar pulang ke negara asal.

“Oleh itu, kemasukan 1.5 juta itu penggantian kepada 1.3 juta itu,” katanya.

Menurutnya, bagi tenaga kerja di bahagian korporat dan pengurusan hampir keseluruhan syarikat menggunakan pekerja tempatan 100 peratus.

Sementara itu, Abby Li berkata, syarikatnya bertanggungjawab membantu mana-mana majikan mendapatkan pekerja tempatan dan asing bagi memenuhi kekosongan.

“Namun, sehingga kini kami sukar mendapatkan pekerja tempatan di sektor industri pengeluaran disebabkan oleh faktor waktu kerja tidak tetap dan tidak mampu bertahan dalam tempoh lama.

“Keadaan ini menyebabkan kesukaran majikan dan kami untuk mencari pekerja lain bagi melancarkan operasi seharian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 9:56 AM