MUHAMMAD Hafizuddin kini menerima rawatan di hospital.

Melaka: Muhammad Hafizuddin Norian, 17, pelajar sebuah maahad tahfiz di Sungai Udang di sini, lumpuh bahagian kanan badannya berikutan patah tulang bahu kiri selepas terbabit dalam pergaduhan dengan seorang pelajar tingkatan dua maahad sama, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam, Muhammad Hafizuddin yang juga pelajar tingkatan lima di situ mendakwa, ketika bergelut, kaki kanannya tersangkut pada pagar sekolah sebelum dia terjatuh dan tidak berupaya untuk bangun.

Katanya, terdahulu, dia ditemani seorang rakan berjumpa dengan pelajar tingkatan dua terbabit untuk menyelesaikan salah faham antara mereka membabitkan kes pelanggaran disiplin di asrama maahad berkenaan.

“Namun berlaku pergelutan antara kami. Kaki saya secara tiba-tiba tersangkut pada pagar menyebabkan saya terjatuh di kawasan lapang bersebelahan longkang.

“Sejurus terjatuh, saya tidak dapat menggerakkan anggota pada bahagian kanan badan ketika cuba bangun. Rakan yang menemani saya memaklumkan kejadian kepada warden asrama yang kemudiannya menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Melaka, semalam.

Muhammad Hafizuddin yang juga ketua asrama maahad tahfiz itu berharap ia hanya sementara dan boleh dirawat.

Berikutan kejadian, Muhammad Hafizuddin berkata, jika lumpuh terus, dia mungkin terpaksa memendamkan cita-cita hasrat untuk menjadi pegawai agama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Walaupun trauma, saya berharap dapat meneruskan pengajian di maahad tahfiz ini sehingga tamat kerana sayangkan sekolah ini,” katanya.

Ibunya, Suraya Baba, 45, berkata dia menerima panggilan telefon daripada pengurusan asrama maahad tahfiz berkenaan jam 12.20 tengah malam, Sabtu lalu yang memaklumkan insiden berkenaan.

“Saya sangka anak yang telefon untuk bertanya khabar, sebaliknya disambut oleh warden asrama. Saya dan suami bergegas ke hospital dari Kampung Lendu, Alor Gajah untuk melihat keadaannya.

“Saya kesal dengan tindakan pengurusan maahad tahfiz itu yang masih mendiamkan diri selepas kejadian. Malah, ketika di hantar ke hospital, anak saya hanya ditemani pelajar dan bukan wakil maahad tahfiz terbabit,” katanya.

Menurut Suraya, pengurusan maahad terbabit perlu tegas dalam menyelesaikan masalah itu sebelum kejadian sama menimpa pelajar lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 10:15 AM