KAUNSELOR PSIS maut dalam kemalangan.

Tanjong Karang: Kaunselor Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam, Ahmad Fikri Noormahadi, maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 63, Jalan Klang-Teluk Intan.

Dalam kejadian jam 5.00 petang kelmarin, mangsa berusia 30 tahun menunggang motosikal model Yamaha FZ150 dalam perjalanan pulang ke PSIS selepas menghadiri majlis di Putrajaya.

Ahmad Fikri bagaimanapun maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian tubuh.

Mangsa yang berasal dari Kampung Naning, Hulu Langat berkhidmat di PSIS sejak tiga tahun lalu meninggalkan seorang isteri berusia 26 tahun dan seorang anak lelaki berusia 10 bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ruslan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lori dari arah sama menyebabkan mangsa hilang kawalan.

“Mangsa kemudian jatuh di lorong sebelah kiri jalan sebelum digilis sebuah kenderaan berat dipercayai treler.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fahmi Ahmad di talian 03-5514222 atau melaporkan di balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:25 AM