ANGGOTA JPAM membantu mangsa yang cedera.

Ampang: Seorang wanita cedera teruk di kepala dan menahan azab kesakitan apabila tergolek jatuh dari lereng Bukit Tabur di sini, setinggi kira-kira 18 meter.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, mangsa berusia lingkungan 20-an itu bersama rakannya memulakan aktiviti mendaki bukit berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa bagaimanapun dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari lereng bukit itu.

Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu terus membuat panggilan kecemasan berikutan gagal menyelamatkan mangsa yang cedera.

Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.50 petang sebelum sepasukan anggota JPAM dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Lapan anggota JPAM segera dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu menurunkan mangsa dari puncak bukit.

“Perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira dua jam dan usaha untuk mengeluarkan mangsa turut mengalami kesukaran berikutan cerun bukit yang tinggi serta cuaca gelap, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:15 AM