Richard Alexander.
DR Tengku Jamaluddin.
Tengku Ardy Esfandiari.
SYED Budriz Putra Jamalullail.
Tengku Iskandar Shah.
Oleh Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my

Klang: Kerabat Selangor Datuk Tengku Iskandar Shah Tengku Ismail Shah mendahului senarai lima penerima pangkat dan gelaran diisytihar dan dimasyhurkan dalam Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli di Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Tengku Iskandar, 54, yang bertugas dengan sebuah bank dikurnia dan dilantik sebagai Orang Besar Bergelar dengan gelaran Tengku Seri Andika Diraja sejak 1 Disember 2008.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan gelaran Orang Besar Istana kepada dua kerabat iaitu Pengerusi Eksekutif Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamallulail dan Pengerusi Eksekutif CB Industrial Product Holding Berhad Datuk Tengku Ardy Esfandiari Tengku Ahmad Shah.

Syed Budriz Putra Jamalullail dilantik pada
1 Ogos 2001 dengan gelaran Engku Maharaja Lela Setia Paduka dan Tengku Ardy Esfandiari pula dikurniakan pangkat gelaran Tengku Paduka Shah Bandar pada 1 Disember 2008.

Turut diisytihar dan dimasyhurkan pada istiadat semalam bekas pensyarah Logistik dan Maritim Universiti Teknologi MARA (UiTM) Datuk Dr Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah yang dilantik pada Mei 2005 sebagai Orang Besar Daerah Sepang dengan gelaran Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang.

Pengarah Urusan Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMS) Datuk Richard Alexander John Curtis yang dilantik sebagai Datuk Diraja Selangor dengan gelaran Datuk Lela Jasa Diraja pada 26 Mei 2014 turut diisytihar dan dimasyhurkan semalam.

Semua penerima perlu menyatakan ikrar taat setia dan menjunjung duli kepada baginda Sultan Selangor dalam istiadat yang dimulakan sejak era Raja Lumu.

Mereka dikurniakan dengan Keris Panjang (bagi penerima beragama Islam) dan pedang bagi penerima bukan Islam daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum meninggalkan Selangor selama tujuh hari mulai semalam.

Upacara berkenaan disempurnakan dalam satu lagi Istiadat Menjunjung Duli pada 27 Februari.

Kali terakhir istiadat itu dijalankan pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:12 AM