DHU kebanggaan rakyat Pahang.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Pekan: Kolej Antarabangsa Automotif (ICAM) yang kini diangkat menjadi Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM (DHU) bakal melonjak imej daerah ini sebagai pusat pengeluaran automotif tempatan.

Ia antara universiti pertama di Asia Tenggara menawarkan program ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang automotif merangkumi pengajian mekanikal, perniagaan dan pengurusan.

Pengerusi Ketua Kampung Daerah Pekan Abdul Kadir Bakar berkata, langkah Kementerian Pendidikan menaik taraf ICAM memberi peluang belia tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang automotif.

Katanya, ia sekali gus membantu melahirkan lebih ramai pekerja mahir seiring Malaysia mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

“Di Taman Automotif Pekan, ada banyak syarikat beroperasi dan mereka memerlukan pekerja tempatan berkemahiran tinggi di sektor pembuatan dan pemasangan automotif.

“Saya yakin DHU dapat melahirkan graduan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri dan pekerja berpeluang melanjutkan pelajaran mereka,” katanya.

Penduduk Taman LKNP, di sini, Naziri Mat Idris berkata, DHU membantu meningkat kegiatan ekonomi masyarakat di daerah ini.

Menurutnya, ia selaras usaha pentadbiran universiti untuk memperluas pengambilan penuntut termasuk antarabangsa dengan memperkenalkan kursus yang memenuhi keperluan industri.

“Bagi penduduk setempat terutama perumahan di sekitar kampus universiti, mereka mendapat limpahan ekonomi apabila bilangan pelajar bertambah dari semasa ke semasa.

“Jumlah kedai makan, dobi, inap desa, hotel dan kafe siber bertambah bagi menampung keperluan pelajar dan kakitangan universiti. Mereka tidak perlu ke Pekan atau Kuantan untuk urusan harian,” katanya.

Bagi penuntut DHU, Nurul Fariza Noorhissam, 23, status universiti memberi nilai tambah dan daya saing kepada lepasan universiti berkenaan apabila menceburi bidang pekerjaan.

Dia yang juga penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Pengurusan Pemasaran berkata, pembelajaran di DHU menekankan dwi latihan seperti diamalkan di Jerman.

“Kami mempunyai pilihan mengikuti latihan industri di anak syarikat DRB-HICOM termasuk berhampiran kampus DHU di Taman Automotif Pekan.

“Malah, syarikat automotif utama dunia, Daimler Chrysler AG turut beroperasi di taman ini selain syarikat yang menghasilkan kereta berkualiti tertinggi dengan julat terbesar pemasangan model tempatan.

“Ia termasuk produksi bertaraf dunia untuk jenama terkenal seperti Mercedes-Benz, Isuzu, Suzuki, Mitsubishi and Daewoo.

“Ini memberi peluang pelajar menimba pengalaman di lapangan dan membantu mereka apabila memohon pekerjaan,” katanya.

Sebagai anak jati Pekan, dia berbangga daerah itu mempunyai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berstatus antarabangsa.

“Ia membuka peluang kepada belia tempatan melanjutkan pengajian di tempat tinggal mereka, malah kembali bekerja di syarikat automotif di daerah ini,” katanya.

Selain PhD, DHU menawarkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dalam bidang Teknologi Perkhidmatan Automotif dan Reka Bentuk Industri, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Pemasaran), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Pengurusan Pemasaran kerjasama Universiti Multimedia Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:11 AM