Hishammuddin selepas mempengerusikan taklimat Pameran DSA 2016.
Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Prinsip kami jelas, memerangi IS tidak sampai tahap kerjasama ketenteraan,” tegas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengulas mengenai pertemuannya dengan Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Menteri Pertahanan Muhammad Salman.

Sebaliknya beliau berkata, Malaysia dengan tegas berpegang dengan tiga pendekatan dalam usaha memerangi pengganas terbabit ia itu bekerjasama dengan Arab Saudi untuk mengenal pasti punca kewangan kumpulan pengganas itu.

Katanya, pihak berkuasa mahu mengenal pasti pertembungan ideologi sehingga wujud pemikiran ekstremis dan daya tarikan yang ada sehingga mempengaruhi golongan muda di seluruh dunia termasuk di Barat.

“Ketiga ialah fungsi media termasuk media sosial dalam merekrut dan menyampaikan propaganda Daesh.

“Kami di Malaysia setuju dengan tiga perkara dan tidak kepada tindakan ketenteraan, apa yang berlaku sebelum ini ialah latihan tentera dengan Arab Saudi sama seperti latihan yang kita lakukan dengan negara lain seperti dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas taklimat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd Tan Sri Asmat Kamaludin.

Selasa lalu, Hishammuddin menjelaskan latihan ketenteraan yang disertai 20 negara termasuk Malaysia di utara Arab Saudi, tidak ada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan terhadap Yaman.

Katanya, latihan ‘Thunder of the North’ yang diadakan mulai 16 Februari hingga 4 Mac itu latihan ketenteraan pelbagai negara yang wujud lebih 15 tahun lalu dan diadakan sebelum operasi ketenteraan di Yaman lagi.

Sebelum itu, pada 29 Januari lalu, Hishammuddin dan Muhammad yang berbincang berkaitan ancaman yang dicetuskan kumpulan pengganas IS bukan saja terhadap keselamatan negara tetapi juga terhadap nilai Islam.

Sementara itu mengenai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 yang diadakan pada 18 hingga 21 April depan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Hishammuddin berkata, 4,000 pengunjung dari 77 negara dijangka hadir pada pameran membabitkan 1,200 syarikat dari 60 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 10:05 AM