Vincent (kiri) bersama Mustapha Kamil menyampaikan hadiah cabutan bertuah sempena Pameran MyRumah-NSTP kepada Norhazikah di Balai Berita.
Oleh Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpu: Kunjungan tidak dirancang pada hari terakhir Pameran Hartanah MyRumah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Januari lalu membawa tuah kepada seorang guru apabila memperoleh hadiah utama cabutan bertuah iaitu percutian lima hari empat malam di Gold Coast, Australia dan wang tunai bernilai RM10,000.

Norhazikah Suhani, 32, berkata, dia tidak pernah merancang untuk membuat pelaburan hartanah, namun kunjungan saat akhir itu berjaya menarik perhatiannya untuk membeli rumah di Kota Seriemas, Negeri Sembilan.

“Saya mengetahui mengenai pameran itu melalui perkongsian di laman sosial Facebook dan tidak pernah menyangka akan memperoleh hadiah utama ini kerana terlalu ramai pembeli lain yang turut mencuba nasib untuk memperoleh tawaran ini.

“Pembeli perlu mengumpul cop daripada setiap pempamer dan menyerahkan kepada penganjur bagi melayakkan mendapat hadiah utama itu,” katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP sempena Penyampaian Hadiah Utama Pameran MyRumah NSTP di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan NST Mustapha Kamil Mohd Janor, Pengurus Besar Penjualan dan Pengiklanan NSTP Jeannie Leong dan Pengarah Urusan Andaman Group Datuk Seri Dr Vincent Tiew.

Norhazikah berkata, keputusan membeli rumah itu dilakukan apabila memikirkan dia masih belum ada aset sebagai persediaan masa depan walaupun sudah lama bekerja.

“Bagi saya, pelaburan ini tidak merugikan kerana ia aset kekal dan harga hartanah akan sentiasa meningkat kerana permintaan yang tinggi.

“Lagipun, apabila pameran ini diadakan di Balai Berita NSTP, ia lebih meyakinkan kerana kebanyakan yang datang adalah kali pertama membuat pelaburan hartanah,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Segar, Cheras.

Menurutnya, dia berharap pameran hartanah dengan kerjasama NSTP dan pihak pemaju boleh dijadikan ‘one stop centre’ baru bagi memudahkan orang ramai mendapatkan info mengenai pelaburan hartanah.

Sementara itu, Vincent berkata, pameran ini berjaya mencapai sasaran penganjur apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai walaupun negara dilanda masalah ekonomi.

“Sepanjang tiga hari pameran berlangsung, pengunjung boleh membuat pemilihan rumah mengikut kehendak dan bajet yang mereka rancang.

“Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan ilmu pelaburan hartanah dan bersoal jawab secara terus dengan 19 jurucakap yang mempunyai pelbagai pengalaman mengenai pelaburan hartanah,” katanya.

Katanya, pemaju hartanah dengan kerjasama NSTP juga merancang untuk mengadakan pameran di luar ibu negara bagi membuka peluang kepada orang ramai membabitkan diri dalam pelaburan hartanah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:57 AM