OBAMA (tiga dari kanan) dan Najib bersama pemimpin ASEAN lain ketika tiba untuk sesi bergambar pada hari terakhir sidang.

Sunnylands, California: Pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN yang mengakhiri sidang kemuncak bersejarah mereka, semalam sepakat untuk menjadi peneraju isu global membabitkan keganasan dan ekstremisme.

Datuk Seri Najib Razak menggambarkan sidang kemuncak di tengah gurun California yang julung kali diadakan antara Presiden AS, Barack Obama bersama 10 pemimpin ASEAN sebagai “berjaya, produktif dan amat signifikan.”

“Kita mahu hubungan ini membuka laluan ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara,” katanya kepada media Malaysia di akhir sidang kemuncak itu di sini, malam tadi.

Pada sidang itu, Perdana Menteri membangkitkan isu ancaman keselamatan oleh kumpulan seperti IS dan menegaskan dunia mesti memenangi ‘perang ideologi’ ke atas kumpulan militan itu.

“Serangan di Paris, Istanbul, Ankara, Beirut, Jakarta dan San Bernardino tidak jauh dari Palm Springs yang menjadi lokasi sidang kemuncak ini, menyedarkan kita betapa seriusnya ancaman ini.

“Bagi mereka yang menerima pakai ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, semua ini boleh mendorong kepada keganasan. Malah, kepercayaan mereka jauh bertentangan dengan prinsip Islam.

“Saya tegaskan jika kita mahu menangani ancaman IS dengan berkesan, kita mesti terlebih dahulu memenangi perang ideologi, selain menghantar pasukan ketenteraan,” katanya.

Najib turut memaklumkan Malaysia dipilih sebagai Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) bertujuan menangani dakyah IS dan memberi gambaran mengenai ajaran Islam sebenar.

Katanya, ke arah itu, kerajaan juga akan mengeluarkan laporan berhubung kajian Indeks Syariah Malaysia (ISM) dalam tempoh terdekat.

“Indeks ini dilaksanakan berdasarkan enam prinsip maqasid syariah. Kita akan mentakrifkan makna sebenar negara Islam.

“Jika kita boleh mentakrif negara Islam berdasarkan prinsip maqasid syariah seperti memelihara kesucian hidup, kebijaksanaan, harta, maruah diri, agama dan keluarga, kita boleh buktikan ajaran IS adalah bertentangan dengan prinsip berasaskan matlamat maqasid syariah.

“Ini adalah sumbangan Malaysia ke arah memenangi hati dan fikiran masyarakat supaya mereka menolak fahaman IS, tidak menjadi pengikut atau penyokong IS,” katanya.

ISM akan mengukur komitmen negara secara saintifik dan objektif dalam mencapai enam prinsip maqasid syariah. Najib dijadual mengumumkan hasil kajian itu bulan depan.

Pada sidang kemuncak AS-ASEAN itu, Najib turut menekankan keberkesanan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam menentang ekstremisme.

Perdana Menteri turut menyentuh isu perubahan iklim, pemerdagangan manusia seperti etnik Rohingya dan ancaman puak pemisah selatan Filipina terhadap keselamatan di Sabah.

Hari ini, Najib akan berada di San Francisco untuk melawat ibu pejabat Apple Inc dan Tesla Motors.

Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan 16 pengurus dana AS dan berucap pada majlis makan tengah hari bersama pelabur negara itu sebelum mengakhiri lawatan kerja enam hari ke California.

Sementara itu, Reuters melaporkan, Obama pada sidang medianya berkata, keperluan untuk mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan dibincangkan pada sidang kemuncak itu dan semua pihak bersetuju supaya sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman serta menerusi peruntukan undang-undang.

“Kami membincangkan perlunya langkah tegas diambil di Laut China Selatan bagi meredakan ketegangan, termasuk menghentikan kerja penambakan, pembinaan baharu dan penggunaan ketenteraan di kawasan pertikaian.

“Apabila ASEAN bersuara secara jelas dan bersatu, ia boleh membantu memperbaiki keselamatan, peluang dan maruah diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 8:58 AM