IRMOHIZAM (tengah) memantau keadaan rumah Rosli (kiri) yang rosak dilanda ribut di Kampung Bukit Badong.

Kuala Selangor: Hujan lebat disusuli ribut petang kelmarin, menyebabkan sebanyak 28 rumah di Kampung Bukit Badong di sini, rosak teruk.

Salah seorang mangsa, Rosli Adnan, 60, berkata, ketika kejadian dia berada di gerai terletak di hadapan rumahnya dan ramai pelanggan sedang menikmati minum petang.

“Hujan lebat turun kira-kira jam 6.40 petang, sebelum angin ribut muncul dan menerbangkan bumbung rumah saya.

“Pelanggan bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rosli berkata, kejadian itu pertama kali berlaku kepadanya sekeluarga malah mereka masih trauma apabila melihat zink dan bumbung diterbangkan ribut.

Bagaimanapun, Rosli bersyukur apabila ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa lain, Muhayyan Jono, 58, berkata, rumahnya mengalami kerosakan teruk terutama di bahagian ruang tamu dan bilik.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri dan anak berehat di ruang tamu rumah sementara menanti waktu solat Maghrib.

“Saya dapati hujan lebat ketika itu amat lebat berbanding kebiasaan malah ribut yang muncul tidak lama kemudian terus menerbangkan bumbung rumah kami sekelip mata.

“Kami sekeluarga bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami RM10,000.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim yang meninjau rumah penduduk kampung terbabit berkata, kebanyakan rumah mangsa mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang tercabut diterbangkan angin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:54 AM