Muhammad Adib dan Muhamad Shahrul Aiman bertarung di Kejohanan Muay Thai Terengganu Fight Night 2016 di Dataran Shahbandar.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Dua kanak-kanak berusia 11 tahun dari Besut boleh dianggap ‘budak besi’ kerana kemampuan dan ketahanan mereka menahan tumbukan serta sepakan ketika bertarung di gelanggang muay thai.

Muhammad Adib Syamsudin dari Kampung Lubuk Kawah dan Muhamad Shahrul Aiman Abdul Razak dari Kampung Gemuruh, Besut, menjalani pelbagai latihan lasak sejak berusia tujuh tahun bagi memastikan mereka mempunyai ketahanan mental dan fizikal sebelum layak bertarung di gelanggang muay thai sebenar.

Muhammad Adib berkata, dia meminati sukan itu sejak berusia lima tahun, tetapi mengikuti latihan pada usia tujuh tahun bersama abangnya, Mohd Azizi Syamsudin, 17, di Gelanggang Muay Thai Kayu Kelat, Besut.

“Biarpun latihannya mencabar dan memerlukan ketahanan diri selain berdepan dengan risiko kecederaan, ia bukan halangan untuk saya meneruskan latihan.

“Saya berlatih muay thai empat jam sehari di pusat latihan selain di rumah untuk persediaan bertarung di gelanggang muay thai apabila dijemput memeriahkan mana-mana kejohanan.

“Saya bercita-cita menjadi sehebat atlet muay thai nombor satu negara iaitu Mat Ali dari Kelab Tomoi Henrry Gym yang memenangi banyak tali pinggang di kejohanan muay thai di dalam dan luar negara,” katanya pada Kejohanan Muay Thai Terengganu Fight Night 2016, baru-baru ini.

Dia menjalani latihan pada waktu petang selepas waktu persekolahan dan memberi tumpuan sepenuhnya pada latihan pada musim cuti sekolah.

“Sehingga kini, saya bertarung lima kali di gelanggang iaitu pertarungan pertunjukan sebelum perlawanan atlet dewasa bermula.

“Walaupun hanya pertunjukan, saya dan rakan bertarung bersungguh-sungguh untuk mengalah lawan dengan jatuhan TKO,” katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Besut.

Menurutnya, selain menjalani latihan harian di Gelanggang Muay Thai Kayu Kelat, dia juga mendapat bimbingan abangnya yang kerap memenangi tali pinggang di kejohanan muay thai yang dianjurkan di dalam negara dan terbaru di Bangkok pada Januari lalu.

“Saya dan abang berkongsi minat sama sekali gus menjadi kelebihan kepada saya menjalani latihan walaupun ketika di rumah. Biasanya saya mengikuti abang menjalani latihan penafasan melalui larian jarak jauh di pantai,” katanya.

Sementara itu, Shahrul Aiman berkata, dia mempelajari sukan muay thai untuk memastikan dirinya tidak menjadi mangsa buli di dalam atau luar sekolah.

“Pada peringkat permulaan, saya hanya ikut latihan muay thai itu untuk mempertahan diri selain mengisi masa lapang, tetapi selepas menjalani latihan dan menyertai perlawanan pertunjukan kali pertama di Kejohanan Muay Thai di Besut, keinginan untuk serius semakin menebal.

“Semua ahli keluarga terutama bapa, Abdul Razak Abdullah, 45, memberi sokongan sepenuhnya dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya, dia menjadikan Ban Nero dari Kelab Tomoi Kuda Merah PDRM sebagai idola dan berharap mencapai impiannya untuk mempunyai ketahanan fizikal, teknik dan ketangkasan seperti atlet itu.

“Di samping menjalani latihan di gelanggang, saya belajar teknik serangan dan pukulan TKO melalui klip video perlawanan Ban Nero dan atlet lain di YouTube,” katanya.

Shahrul Aiman yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh, Besut berkata, dia pernah mengalami kekalahan ketika menyertai Kejohanan Muay Thai di Besut pada Disember tahun lalu namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berlatih.

“Saya tak kisah jika berdepan kegagalan kerana perkara paling penting semangat juang untuk berusaha dan memburu kemenangan.

“Saya memegang kuat kepada slogan jurulatih iaitu ‘hero mesti kalah dulu, tetapi menang kemudian’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Muay Thai SUKMA negeri, Hasyim Ramli berkata, pihaknya berusaha membabitkan seberapa ramai kanak-kanak berusia tujuh tahun di dalam sukan itu bagi melahirkan atlet muay thai bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:20 AM