Oleh Asmah Rusman dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengkaji mekanisme sedia ada untuk mengeluarkan dokumen rasmi kepada anak-anak gelandangan bagi membolehkan mereka mendaftar belajar di sekolah kerajaan.

Menerusi cara itu, ia akan menyelesaikan isu keciciran dalam mendapat pendidikan formal dan mendapat peluang sama rata seperti murid-murid lain untuk menuntut ilmu serta mencipta kejayaan pada masa depan.

Presidennya Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya memandang serius isu keciciran dan bagi golongan gelandangan, masalah dokumen rasmi seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan antara punca mengapa mereka tidak dapat mengikuti pendidikan formal di negara ini.

“GPMS merasakan perlu ada perbincangan antara pihak berkaitan mengenai perkara ini kerana ia bukannya isu baru. Kita mempunyai puluhan anak-anak gelandangan yang tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disebabkan masalah keluarga.

“Bukan salah mereka untuk menerima akibatnya dan kita tidak boleh menuding jari menyalahkan sesiapa. Mungkin perlu ada kelonggaran atau mekanisme lain yang sesuai untuk memberikan dokumen yang boleh digunakan sebagai pengenalan diri.

“Ia boleh digunakan bukan saja untuk mendaftar sekolah, tetapi apa juga proses yang memerlukan dokumen. Namun pada peringkat ini, GPMS merasakan pendidikan perlu diutamakan kepada rakyat di negara ini sesuai saranan kerajaan untuk membudayakan ilmu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 9:25 AM