LONGGOKAN sampah di tepi Jalan Kampung Sungai Midin, Samariang.
Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

Kuching: Penduduk di Kampung Sungai Midin, Samariang di sini, rimas dengan longgokan sampah di tepi jalan yang tidak diselenggara di kampung itu, malah menjadi tempat pembuangan sampah sejak dua tahun lalu.

Tinjauan mendapati longgokan sampah di tapak pelupusan haram itu tidak saja berbau busuk, malah sering diselongkar anjing liar hingga menyebabkan kawasan itu berselerak dengan sampah sarap.

Metro Ahad difahamkan, penduduk sudah memaklumkan masalah itu kepada pemimpin setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi masih tiada tindakan diambil.

Penduduk, Rosnah Ali, 45, berkata, keadaan itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk di kampung itu kurang selesa, malah mereka yang tinggal berdekatan longgokan sampah berkenaan terpaksa menghidu bau busuk sepanjang masa.

“Keadaan bertambah buruk apabila hujan, bau sampah meloyakan. Keadaan itu berlarutan sudah terlalu lama.

“Apabila anjing menyelongkar sampah, ia akan menyebabkan persekitaran tapak pembuangan sampah itu bertambah teruk dan menyebabkan bau yang memualkan,” katanya.

Rosnah berkata, keadaan menjadi tidak lagi terkawal apabila ada segelintir penduduk yang membuang sampah di tapak itu sehingga meningkatkan kuantiti sampah di kawasan itu.

“Setiap kali melalui kawasan itu, kami (penduduk) terpaksa melihat longgokan sampah di tepi jalan yang membuatkan mata sakit untuk memandangnya. Keadaannya cukup teruk.

“Isu longgokan sampah ini sudah diajukan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), namun masih tiada jalan penyelesaian diambil,” katanya.

Meluahkan perasaan sama, Razali Jobli, 46, berkata, timbunan sampah yang banyak di tepi jalan itu memberi imej buruk kepada penduduk kampung.

Menurutnya, ada empat tong sampah disediakan di tapak pembuangan sampah berkenaan, tetapi ia tidak dapat menampung jumlah sampah dibuang di kawasan terbabit.

“Malangnya, ada segelintir penduduk yang memburukkan keadaan melonggokkan sampah di lokasi

wsama, walaupun menyedari ia tidak diselenggara dengan baik.

“Bukan tidak ada penduduk membersihkan kawasan itu sebelum ini tetapi tidak sampai seminggu, sampah bertambah dan tidak dimasukkan ke dalam tong sampah disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:01 AM