Muhammad Azzaz menunjukkan barang yang rosak akibat amukan.

Tumpat: Seorang pemilik kedai runcit berdepan detik cemas apabila seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah mengamuk dan merosakkan barangan di dalam kedainya serta mengugut mahu membunuh diri dengan meletupkan premis berkenaan dalam kejadian Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas polis berjaya menahan suspek sejam kemudian.

Bagaimanapun, pemilik kedai berkenaan kerugian RM20,000 berikutan barangan di premisnya itu dirosakkan suspek.

Pemilik kedai itu, Muhammad Azzaz, 33, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakannya berada di dalam kedai itu sebelum suspek berusia 36 tahun memasuki premis 24 jam itu untuk meminta bantuan kerana mendakwa ada orang mahu membunuhnya.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba lelaki itu mengamuk dan merosakkan barang dalam kedai saya sebelum menyembur gas memasak di dalam kedai ini.

“Lelaki itu kemudian mengugut mahu membunuh diri dan cuba menyalakan api sebanyak tiga kali namun mujur tidak menyala selepas saya menyembur alat pemadam api ke arah tong gas berkenaan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, hampir 30 minit dia cuba memujuk lelaki itu supaya bertenang, namun tidak berjaya sebelum menghubungi polis untuk membantu.

“Tidak lama kemudian, kira-kira 10 anggota polis tiba di kedai dan mengambil masa lebih satu jam untuk memujuk lelaki itu yang akhirnya menyerah diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:32 AM