Mohamad Noor Fitri mengerang kesakitan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Utama KSM Mentakab, sementara Mohamad Shafirul maut di lokasi kejadian, semalam.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


Temerloh: Perjalanan pulang seorang anggota bomba bantuan untuk mengambil anak sulungnya selepas tamat sesi persekolahan berakhir dengan tragedi apabila murid tahun satu itu maut, manakala dia parah dalam kejadian di Jalan Utama KSM Mentakab, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengahari, mangsa, Mohamad Noor Fitri Jafri, 28, berasal dari Batu Kapor, Mentakab, dipercayai mengalami keretakan pada tulang belakang, manakala anaknya, Mohamad Shafirul Adam, 7, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman KSM selepas mengambil anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mentakab.

“Siasatan awal mendapati ketika tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan memasuki jalan bertentangan sebelum kedua-duanya jatuh di atas jalan.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu mangsa namun Mohamad Shafirul Adam disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba beberapa minit kemudian berikutan kepala kanak-kanak itu dipercayai terhentak di atas permukaan jalan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, Mohamad Noor Fitri yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab parah di bahagian belakang badan dan hanya mampu meratapi apabila melihat jasad anaknya yang terbaring.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di jalan menghala ke Mentakab dan sedikit berselekoh, manakala permukaan jalan sedikit basah akibat hujan.

“Mohamad Noor Fitri dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, mayat Mohamad Shafirul Adam turut dibawa ke Jabatan Forensik HOSHAS untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Sungai Buloh, Mentakab, selepas Isyak.

Difahamkan, Mohamad Noor Fitri sudah lebih setahun berkhidmat sebagai anggota bomba bantuan dan dijadualkan bertugas pada malam semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Mohd Anuar berkata, seorang pelajar tingkatan lima maut, manakala adiknya parah apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Pangsenam, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyraf Mat Arof, 17, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adiknya, Muhammad Hafeez, 15, patah kedua-dua kaki dan tangan kiri.

Kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Teluk, Jalan Triang, Bera.

Mohd Anuar berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh, di sini.

“Siasatan awal mendapati, motosikal jenis Yamaha 125Z dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah kereta jenis Proton Pesona dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.

“Muhammad Asyraf meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan, Muhammad Hafeez pula parah,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut kemalangan terbabit masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:31 AM