ANGGOTA bomba menjalankan siasatan di rumah mangsa.

Alor Setar: “Kali terakhir saya bertemu abang serta emak dan ayah ketika kami bersembang sambil makan popia Ahad lalu, namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan,” kata Abdul Halim Ab Wahab, 60, adik kepada Abdul Aziz, 62, yang ditemui rentung dalam rumah pusaka milik datuk mereka di Kampung Tengah, Kuala Kedah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa yang menetap di Guar Chempedak, Yan bersama bapa Ab Wahab Abdullah, 86, dan ibu Che Amah Mat, 75, dipercayai pergi ke rumah itu sebelum ke laut menangkap ikan, kelmarin.

Abdul Halim berkata, rumah pusaka berusia 100 tahun itu sudah tidak lagi didiami menyebabkan bekalan elektrik juga dipotong menyebabkan abangnya mungkin memasang lilin ketika tidur sebelum ia terbakar dan arwah gagal menyelamatkan diri.

“Dia memang selalu datang menjenguk rumah pusaka itu dan petang semalam (kelmarin) pun arwah ada beritahu emak juga hendak ke Kuala Kedah,” katanya.

Saksi kejadian yang juga sepupu mangsa, Mahdzir Yahaya, 65, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dikejutkan anak perempuannya sebelum keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Ketika itu, saya lihat api sudah marak di ruang tamu, namun tidak menyangka arwah juga ada di dalam rumah itu sehinggalah saya melihat motosikalnya jenis Yamaha LC yang diletakkan berhampiran rumah.

“Ketika itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa berikutan api terlalu marak dengan sebahagian tiang kayu di bahagian depan rumah jatuh lalu meminta jiran menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mahdzir berkata, arwah jarang pulang ke rumah pusaka itu kerana tinggal bersama keluarganya dan hanya sesekali pulang jika mahu ke laut menangkap ikan.

“Kali terakhir dia mai (datang) sebulan lalu. Selalunya kalau Aziz balik akan jumpa saya, tetapi semalam (kelmarin) dia senyap saja sampai saya pun tak tahu dia berada dalam rumah ketika kebakaran sehinggalah saya ternampak motosikal miliknya.

“Malah, bunyi jeritan dia (Aziz) pun tak ada, kemungkinan dia sedang tidur ketika kebakaran kerana mayatnya ditemui di tempat tidurnya di ruang tamu dalam keadaan berbaring, ” katanya.

Difahamkan, mangsa sudah lama berpisah dengan isterinya dan mempunyai empat anak.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Nur Hafizah Mohd Lokman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.14 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:12 AM