ANGGOTA produksi Ola Bola yang hadir ketika tayangan 28 Januari lalu.

Kuala Lumpur: Astro Shaw sekali lagi bakal mencetuskan fenomena apabila filem terbaru mereka, Ola Bola mencatat kutipan sebanyak RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan.

Filem arahan Chiu Keng Guan yang mula ditayangkan sejak 28 Januari lalu di 126 pawagam di seluruh negara dan Brunei dijangka mampu menyamai pencapaian filem Polis Evo yang mencatat kutipan RM17.3 juta tahun lalu dan The Journey RM17.28 pada 2014.

Chiu juga ialah pengarah kepada filem The Journey.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya gembira dan bersyukur atas sambutan yang diterima.

“Saya bersyukur dan tidak menyangka dengan sambutan yang diterima.

“Mungkin juga tema ‘universal’ ditampilkan membuatkan orang ramai menonton filem ini. Kami juga melihat ini suatu pandangan daripada penonton di Malaysia yang sensitif terhadap setiap isu yang ditampilkan.

“Dengan menghasilkan filem daripada pelbagai genre dan mengikut cita rasa penonton, kami yakin dan berharap akan lebih ramai lagi ke pawagam menonton filem ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Astro Henry Tan berkata, filem itu mendapat sokongan dan reaksi positif rakyat Malaysia dan Ola Bola turut memberi impak besar di laman-laman sosial dan menjadi ‘trending’ di Twitter sebanyak enam kali.

“Ola Bola bukan hanya memaparkan sukan bola sepak saja, tetapi turut menonjolkan semangat perpaduan yang ada di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:10 AM