ANGGOTA penyelamat memeriksa stor yang terbakar di Projek Semaian Padi dan Jentanam, semalam.

Jitra: Aktiviti pembakaran rumput tidak dikawal dipercayai antara punca sebuah stor simpanan peralatan semaian padi hangus dalam kebakaran di Projek Semaian Padi dan Jentanam di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) D-II Tunjang, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.20 petang itu, api marak dengan cepat menyebabkan keseluruhan stor yang menyimpan pelbagai mesin semaian padi itu musnah.

Saksi kejadian Megat Nabil Megat Nazir, 24, berkata dia ternampak kepulan asap tebal di kawasan stor yang terletak kira-kira 400 meter dari bengkel motosikalnya di Kampung Tunjang, di sini.

Katanya, dalam keadaan panik, dia menyuruh rakannya menghubungi pihak bomba selepas mendapati api marak sebelum menghubungi kakitangan MADA.

“Ketika itu, api merebak dengan cepat dan saya bersama beberapa rakan lain hanya mampu melihat dari jauh sebelum pihak bomba datang untuk memadam api.

“Mujur ketika kejadian, tiada sesiapa berada di situ jika tidak mungkin sesuatu di luar jangkaan boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Pegawai Bomba Tinggi Esahak Ayub Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang dan sepasukan 18 anggota bersama dua jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi.

“Keadaan cuaca panas disertai angin kuat menyebabkan api merebak dengan cepat dan memusnahkan stor itu 100 peratus, dan dipadam sepenuhnya pada jam 3.52 petang.

“Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak berkemungkinan kejadian berlaku akibat pembakaran rumput kering yang tidak dikawal menyebabkan api merebak dengan cepat sebelum menyambar stor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 7:44 AM