PERAGUT yang ditahan orang ramai.

Kajang: Seorang lelaki berusia 38 tahun bukan saja gagal meragut, malah turut dibelasah orang ramai yang berjaya menahannya di depan Pasar Semenyih di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, suspek yang menunggang motosikal Suzuki TXR 150 bersama rakannya dikatakan cuba meragut seorang wanita, namun gagal.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek berjaya dikejar anak mangsa dibantu beberapa orang awam sebelum dapat ditahan manakala rakan suspek sempat melarikan diri.

Difahamkan, selepas ditahan, suspek turut dipukul beberapa orang awam hingga cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, seorang suri rumah berusia 64 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

“Mangsa juga tidak mengalami sebarang kerugian dan usaha mengesan rakan suspek giat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 7:12 AM