AMIRUDDIN dan Siti Nur Izzah menunjukkan sijil selepas bergelar mutawwif dan mutawwifah.
Oleh Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Walaupun baru berusia belasan tahun, dua beradik iaitu Amiruddin Muhammad, 18, dan kakaknya, Siti Nur Izzah Muhammad, 19, bergelar mutawwif dan mutawwifah selepas mendapat pengiktirafan di Majlis Pensijilan Mutawwif Johor Corporation (Jcorp) di Pesada Johor, di sini, semalam.

Amiruddin yang menuntut di Akademi Ulumuddin Sheikh Daud Al-Fathoni di Cheras berkata, kemampuan bertutur dalam bahasa Arab memberikan kelebihan kepada dirinya untuk menjalankan tugas sebagai mutawwif.

Katanya, membawa jemaah umrah atau haji ke Tanah Suci Makkah untuk melakukan ibadat adalah pekerjaan yang murni dan mulia.

“Saya bersyukur mendapat gelaran mutawwif kerana dapat membawa jemaah umrah dan haji pada usia muda walaupun berdepan cabaran dalam membantu mereka yang lebih berusia.

“Selain membantu mereka melakukan ibadat umrah atau haji, tugasan mutawwif juga membantu keperluan jemaah di sana termasuk menyediakan keperluan perhubungan, membeli barangan dan sebagainya.

“Alhamdulillah, saya mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Arab dan saya berharap akan dapat melaksanakan tanggungjawab ini sepenuhnya seperti yang dipelajari mengikut al-Quran dan Sunah Rasulullah S.A.W,” katanya yang pernah belajar di institusi pengajian di Yaman dalam bidang al-Quran dan Sunah selama sembilan bulan sebelum pulang ke Malaysia akibat peperangan.

Sementara itu, Siti Nur Izzah berkata, usia muda tidak menjadi penghalang baginya untuk menjadi mutawwifah kerana mempunyai pengalaman praktikal mengendalikan jemaah umrah.

Katanya, niat mahu menjadi mutawwifah hanya satu iaitu menolong jemaah melakukan ibadat, selain menjaga ibadat sendiri di Tanah Suci.

“Ketika menjalani latihan amali, saya dan rakan membawa 40 jemaah umrah yang turut dipantau pelajar senior dan saya gunakan pengalaman itu untuk terus menolong jemaah yang memerlukan bukan saja dari sudut hukum hakam serta syarat sah umrah dan haji, malah keperluan lain juga.

“Alhamdulillah, bagi seorang wanita untuk ke Tanah Suci memerlukan mahram dan saya beruntung kerana adik saya turut sama menjadi mutawwif kelak,” kata anak kedua daripada enam beradik yang mengambil Diploma Pengurusan Haji Umrah di Kolej Baitulmal Putrajaya itu.

Dalam Program Pensijilan Mutawwif Jcorp 2016, 63 mutawwif baru menerima sijil yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf An-Nur Corporation Berhad, Jamaludin Md Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:07 AM