KLEISSE Marcelina, 24, mendukung anaknya, Pietro, 2 bulan yang menghidap microcephaly di Salvador, Brazil.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Semua pelawat dari benua Amerika Selatan, Amerika Tengah dan rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan serta mempunyai gejala demam dan bintik-bintik dikehendaki melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran sebaik tiba di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Umum) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, langkah itu perlu dipatuhi bagi mengelak penularan jangkitan virus Zika berikutan kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Margaret Chan, jangkitan virus ini merebak begitu pantas di benua Amerika.

Beliau berkata, wanita hamil dari negara ini juga dinasihatkan supaya tidak melawat negara berkenaan.

Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk aedes iaitu vektor sama bagi demam denggi.

Penyakit itu menunjukkan tanda dan gejala menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, sakit di belakang mata, konjuktivitis dan ruam.

Dr Lokman Hakim berkata, rakyat yang melakukan perjalanan ke negara berkenaan hendaklah mengambil langkah pencegahan daripada digigit nyamuk.

“Kementerian juga akan mengeluarkan amaran kesihatan kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, selain meningkatkan pemantauan di klinik dan hospital bagi kes mempunyai tanda Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 negara yang melaporkan jangkitan virus Zika,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Negara yang dilaporkan mempunyai kes Zika dari rantau Amerika adalah Latin Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Republik Dominika, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, US Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.

Menurutnya, Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk aedes dan densiti nyamuk ini juga sangat tinggi berdasarkan hasil pemeriksaan premis di seluruh negara serta hakikat kita juga dibebani masalah denggi yang disebarkan nyamuk sama.

“Penyakit ini belum dikesan di Malaysia, disebabkan itu rakyat negara ini secara amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Jika virus ini dibawa masuk rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong ia boleh merebak dengan pantas,” katanya.

Dr Lokman Hakim berkata, seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus membunuh virus ini dan orang yang dijangkiti menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit nyamuk aedes.

Malah, katanya, ujian saringan kesihatan umum di pintu masuk tidak praktikal kerana gejalanya ringan dan sukar dikesan di samping ketiadaan ujian cepat yang boleh digunakan.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan berterusan oleh kementerian, sebanyak 288 sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan sudah diuji dan semua keputusannya adalah negatif untuk virus zika.

Katanya, kriteria sampel diuji adalah bagi kes yang negatif ujian denggi.

Menurutnya, terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80 peratus) tidak menunjukkan gejala dijangkiti bermakna mereka boleh menjadi ‘pembawa yang sihat’ dan menyebarkan virus ini tanpa disedari.

“Walaupun penyakit ini hanya menyebabkan demam ringan serta bintik-bintik di badan, sakit sendi dan tidak menyebabkan kematian, namun kementerian memandang serius perkara ini.

“Ini kerana ia dikaitkan dengan kejadian microcephaly iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil dan turut dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom ‘Guillain-Barre’, microcephaly adalah kecacatan otak atau kepala yang kekal dan boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:19 AM