MANGSA maut di tempat kejadian selepas dirempuh lori.

Seorang lelaki maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lori di Kilometer 2.4, Jambatan Pulau Pinang arah Prai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Wan Ismail Ahmad, 47, dari Jalan Tenggiri, Seberang Jaya maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sumber berkata, kemalangan berpunca apabila sebuah kereta hilang kawalan sebelum melanggar lori di lorong kiri.

“Kereta dipandu laju di lorong kanan itu turut melanggar tembok di kanan.

“Akibatnya, pemandu berusia 22 tahun itu terbabas ke kiri dan melanggar lori,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan mengelak ke kiri jalan dan memasuki lorong kecemasan, sekali gus melanggar penunggang motosikal.

Katanya, mayat penunggang motosikal itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala pemandu kereta dan lori cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:14 AM