DR Cheah menunjukkan komposit konkrit tanpa simen yang dihasilkan penyelidik USM.

Georgetown: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan komposit konkrit tanpa simen mesra alam dan unik berbanding konkrit geopolimer sedia ada.

Komposit konkrit tanpa simen yang digunakan untuk membuat blok atau struktur bangunan itu berupaya mengurangkan tapak karbon dan tenaga pembuatan berbanding bahan konkrit biasa.

Penyelidik dari Pusat Pengajian Pembangunan, Perumahan dan Perancangan USM Dr Cheah Chee Ban berkata, komposit konkrit daripada bahan arang batu itu 10 peratus lebih ringan dan mampu mengurangkan tahap kealkalian serta hakisan kimia berbanding konkrit geopolimer.

Beliau berkata, kumpulannya turut menemui formula baru pembuatan bahan pengikat tanpa simen sepanjang penyelidikan itu termasuk metodologi pembuatan termaju bagi mengurangkan tahap keliangan konkrit.

“Melalui penghasilan di bawah geran penyelidikan RM230,000 ini, kami turut menemui kaedah baru mengurangkan tapak karbon dan kos pembuatan komposit konkrit tanpa simen.

“Ia boleh digunakan dalam kerja geoteknik, blok penurap dan bata bagi dinding bangunan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, penyelidikan itu turut mendapat kerjasama kilang tenaga arang batu di Manjung, Perak dan industri pembuatan besi di Seberang Prai bagi menjalankan proses pembuatan.

Beliau berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan syarikat di Sungai Petani, Kedah bagi mengkormesialkan komposit berkenaan dan masih dalam proses mendapatkan hak paten.

“Ia usaha berterusan dengan membawa teknologi pembuatan dari makmal penyelidikan ke sektor pembuatan bagi pelaksanaan berskala besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 8:17 AM