ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang treler di Jalan Kepong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Meow Ming Hong, 19, yang berasal dari Kepong dalam perjalanan ke tempat kerja dan dipercayai gagal mengelak treler yang berhenti di lokasi kejadian.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler terbabit memberhentikan kenderaannya kerana terdapat garisan kuning di hadapannya untuk memberi laluan kepada kenderaan dari kiri memasuki susur Jalan Kepong.

“Pemandu berkenaan mendakwa hanya menyedari kemalangan itu selepas terdengar bunyi dentuman.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh di bahagian kanan belakang treler itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Jinjang Utara meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 9:36 AM