ANTARA kenderaan buruk yang dibiarkan tersadai.
Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@yahoo.com

Kuala Lumpur: Kewujudan beberapa kereta dan motosikal yang dibiarkan tersadai di kawasan perumahan sekitar ibu kota meresahkan penduduk yang bimbang berlakunya wabak denggi.

Keadaan itu mengundang kepada pembiakan jentik-jentik dan nyamuk aedes terutama apabila wujud takungan air di dalam kenderaan terbabit sehingga menyebabkan penduduk terpaksa berwaspada.

Penghuni flat Bukit Angkasa Ridzwan Shah, 23, berkata, kebanyakan kereta tersadai itu musnah terbakar dan mengalami kerosakan sehingga diliputi lalang dan semak-samun yang mencacatkan pemandangan.

Menurutnya, biarpun penduduk melakukan gotong royong, kebimbangan berlakunya pembiakan nyamuk aedes terus menghantui mereka apatah lagi kes denggi kerap terjadi di kawasan itu.

Katanya, kes denggi terbaru membabitkan flat itu baru berlaku sekitar dua minggu lalu.

“Ramai yang terlepas pandang mengenai pembiakan nyamuk di dalam kenderaan tersadai kerana lebih tertumpu kepada sampah sarap dan longkang tersumbat.

“Tetapi jika dibiarkan tanpa tindakan, lebih ramai lagi yang akan terkena denggi.

“Saya mohon pemilik kenderaan ini tampil dan berbuat sesuatu dengan harta mereka yang musnah, jangan biarkan penduduk lain menanggung akibatnya,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan Harian Metro di lokasi terbabit turut mendapati kereta terbiar yang diletakkan di bahu jalan perumahan berkenaan dikenakan notis oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengalihkannya.

Penduduk Zuhadzri Omar, 40, berkata dia tidak mahu menyalahkan sesiapa, bagaimanapun berharap pihak bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan penyebaran wabak denggi yang dianggap serius kerana membabitkan nyawa penduduk.

“Pemilik kenderaan juga kena ambil tindakan, bukannya membiarkan kereta tersadai sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk dan dihuni binatang berbisa.

“Kebanyakan pemilik buat tidak tahu dan biar kereta tersadai bertahun-tahun. Kami mohon pihak berkuasa tolong berbuat sesuatu terhadapnya,” katanya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pemilik kenderaan terbabit diminta melaporkan kepada DBKL sebelum pihaknya menundanya ke depoh simpanan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 8:31 AM