Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih ketika membeli sesuatu produk kosmetik, selain memastikan ia dibeli daripada sumber yang dipercayai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pengguna juga tidak harus mudah terpedaya iklan dengan produk kosmetik yang tersiar di media cetak, elektronik, laman sosial atau blog yang membuat dakwaan boleh menunjukkan perubahan ketara pada masa singkat.

Katanya, ini kerana produk berkenaan disyaki mempunyai bahan seperti hidrokuinon dan merkuri jika pengguna mengalami perubahan secara ketara dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, produk kosmetik adalah dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Syarikat yang ingin memasarkan produk kosmetik di Malaysia perlu mematuhi keperluan Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik.

“Sesuatu produk kosmetik perlu dimaklumkan (dinotifikasi) terlebih dahulu dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dikilang, diimport, diedarkan atau dijual di negara ini.

“Syarikat yang memasarkan kosmetik bertanggungjawab untuk memastikan produk kosmetik mereka selamat, berkualiti serta tuntutan produk yang dinyatakan pada label atau iklan dapat disokong dengan bukti dokumentasi mencukupi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Noor Hisham berkata, pemantauan terhadap produk kosmetik di pasaran sentiasa dilakukan secara berterusan oleh BPFK melalui aktiviti pengawasan bagi memastikan produk kosmetik di pasaran mematuhi keperluan undang-undang dan garis panduan ditetapkan.

Secara amnya, katanya, produk kosmetik dikategorikan sebagai produk berisiko rendah berdasarkan cara penggunaan produk secara bilasan seperti produk sabun dan mandian.

Menurutnya, kriteria pemilihan produk untuk aktiviti pengawasan berdasarkan potensi risiko sesuatu produk seperti produk tanpa bilas seperti krim pemutih dan produk untuk kegunaan bayi.

“BPFK membuat penyampelan produk kosmetik secara aktif melalui pelbagai kaedah seperti membuat pembelian produk kosmetik di pasaran selain berkerjasama dengan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM untuk mendapatkan sampel daripada pihak syarikat bagi tujuan pengujian di makmal BPFK.

“Selain itu, BPFK turut menjalankan penyaringan maklumat dan formulasi produk, menilai data keselamatan dan dokumen sokongan bagi menyokong tuntutan kosmetik, pemeriksaan kilang kosmetik bagi memastikan kepatuhan kepada keperluan Amalan Perkilangan Baik (AMP), pemantauan label dan membuat saringan terhadap iklan kosmetik,”katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sudah membangunkan sistem pangkalan data produk kosmetik bernotifikasi BPFK sejak 1 Januari 2008 yang berupaya menyaring dan menyekat produk kosmetik tidak mematuhi keperluan peraturan daripada dibenarkan untuk dinotifikasi.

Katanya, sistem ini dapat menyekat atau menghalang produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang atau melebihi had dan syarat yang dibenarkan daripada memasuki pasaran dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 8:23 AM