MOH Nazri
Oleh Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Marang: Banduan yang lari dari Penjara Marang, di sini, pagi semalam, dikatakan menggunakan alasan mahu ke tandas ketika dia dan beberapa banduan lain mengikuti kelas agama.

Difahamkan, banduan itu, Moh Nazri Mat Nasir, 23, mengikut kelas agama di kawasan penjara terbabit sebelum bertindak memanjat pagar di Zon 3 untuk melarikan diri jam 10.20 pagi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas penjara membuat laporan di Balai Polis Merchang, tengah hari, semalam.

Menurutnya, usaha mengesan banduan terbabit digerakkan susulan daripada laporan berkenaan dan pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan kampung berhampiran penjara dan turut melakukan sekatan jalan raya.

“Usaha mengesan banduan itu dilakukan dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran serta pemantauan di kawasan rumah keluarganya di Kampung Paya Resak, Bukit Payong, Marang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, ketika melarikan diri banduan berkulit gelap dengan ketinggian 164 sentimeter itu hanya memakai seluar banduan merah tanpa berbaju.

Rosli berkata, lelaki terbabit menjalani hukuman penjara enam bulan bermula Januari mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan sepatutnya bebas pada 3 Mei ini.

Sementara itu, pihaknya turut menafikan dua banduan melarikan diri dari penjara itu seperti yang diviralkan di laman sosial selepas kejadian terbabit.

Menurutnya, laporan yang pihak terima hanya seorang banduan melarikan diri dan berharap orang ramai tidak percaya maklumat tidak benar di laman sosial.

“Saya minta kerjasama orang ramai terutamanya penduduk kampung di kawasan sekitar penjara sekiranya terserempak dengan lelaki dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi Balai Polis Marang di talian 09-6182222 atau balai berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 8:33 AM