DR Wahid (kanan) menyampaikan sijil kepada pelajar yang menyempurnakan projek pengindahan landskap di UTM Skudai.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Johor Bahru: Program ‘Jobs on Campus (JOC)’ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan secara sambilan bagi membantu mahasiswa mendapatkan peluang latihan dan menjana pendapatan sambilan di dalam kampus.

Naib Canselornya, Prof
Datuk Dr Wahid Omar berkata, program digerakkan menerusi Pusat Kerjaya UTM itu terbuka kepada mahasiswa UTM di semua peringkat pengajian untuk menyertai Skim Latihan Pelajar Penyelidikan (SLPP) serta Skim Latihan Pelajar Bukan Penyelidikan (SLPBP).

“Menerusi skim ini, mahasiswa akan ditempatkan di pusat tanggungjawab berkaitan bagi membantu pihak penyelia dan pentadbir dalam tugasan harian.

“Bidang tugas yang ditawarkan terdiri daripada dua bentuk utama SLPP dan SLPBP dengan setiap satunya mempunyai peranan tersendiri,” katanya pada majlis pelancaran JOC di UTM, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) UTM Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Menurut Prof Wahid, mahasiswa yang dilantik di bawah SLPP akan membantu melaksanakan projek penyelidikan, inovasi dan komersialisasi.

“Mahasiswa SLPBP membantu pengurusan pentadbiran yang memerlukan kemahiran asas seperti komputer, grafik, pembantu pengajar dan lain-lain tugasan.

“Kewujudan kerja sambilan ini membantu mahasiswa memperoleh sumber kewangan tambahan sebagai persediaan menghadapi peningkatan kos perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Beliau berkata, mahasiswa yang berkhidmat di dalam kampus dianggap sebagai pelatih dan bukan pekerja berikutan skim di bawah JOC tertakluk kepada perlindungan insurans universiti selain Akta Pendidikan Tinggi.

“Masa latihan maksimum mingguan ditetapkan kepada setiap mahasiswa yang dipilih bagi membantu mereka mengimbangi sesi kuliah dan tugasan akademik,” katanya.

Menurut beliau, program pembangunan landskap Pusat Kerjaya UTM mengoptimumkan tenaga 25 mahasiswa dari Jabatan Senibina Lanskap, Fakulti Alam Bina menerusi peruntukan RM30,000.

Jumlah berkenaan lebih rendah daripada jangkaan asal RM80,000 sekiranya menggunakan tenaga kerja luar.

Prof Mohd Ismail menyeru mahasiswa UTM supaya lebih proaktif mendapatkan peluang latihan di bawah skim JOC.

“Pihak Pusat Kerjaya UTM akan mengiklankan peluang latihan melalui fakulti dan media sosial. Pembabitan mahasiswa di bawah skim JOC direkod dan diiktiraf melalui transkrip kokurikulum mahasiswa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 7:44 AM